SR Binturan juara Bolasepak Zon 1

SR Binturan juara Bolasepak Zon 1

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

TUTONG, 9 Mac – Pasukan Sekolah Rendah (SR) Binturan dinobatkan sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Sekolah-sekolah Rendah Tutong I setelah berjaya membenam harapan pemain Pasukan SR Birau di Padang Sekolah Rendah Keriam.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis berkenaan dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada barisan pemenang ialah Ketua Kluster 5, Jabatan Sekolah-sekolah Daerah Tutong, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

Para perlawanan akhir tersebut, kedua-dua pasukan mempamerkan aksi permainan yang seimbang menyebabkan kedudukan seri tanpa jaringan sehingga ke wisel penamat perlawanan dan memaksa kedua-dua penjaga gawang pasukan finalis untuk melaksanakan tugas bagi memastikan sepakan penalti ditepis dan ditampan keluar dari gawang masing-masing.

Namun begitu, selesai lima sepakan penalti daripada kedua buah pasukan, Pasukan SR Binturan berjaya menjaringkan tiga gol daripada lima sepakan, sementara Pasukan SR Birau pula hanya berjaya memasukkan satu jaringan sahaja sekali gus menjadikan mereka sebagai naib juara dalam zon I Daerah Tutong di sini.

Antara aksi dalam perlawanan itu hari ini.
Antara aksi dalam perlawanan itu hari ini.
Pasukan Sekolah Rendah Binturan selaku juara Kejohanan Bola Sepak Sekolah-sekolah Rendah Tutong I.
Pasukan Sekolah Rendah Binturan selaku juara Kejohanan Bola Sepak Sekolah-sekolah Rendah Tutong I.

Tampil di tempat ketiga adalah Pasukan SR Penanjong dan di tempat keempat pula Pasukan SR Kupang yang mana kedua-dua pasukan tersebut tewas di tangan finalis yang berjaya meraih kejuaraan dan naib juara di perlawanan akhir hari ini.

Sebanyak 12 pasukan turut disenaraikan di bawah tadahan Zon I antaranya SR Sinaut, SR Lamunin, SR Kiudang, SR Bukit Panggal, SR Bakiau, SR Muda Hashim, SR Keriam, SR Tutong Kem dan SRSengkarai.

Sebelum beraksi di peringkat akhir, SR Birau telah berjaya menewaskan Pasukan SR Sinaut dan Pasukan SR Lamunin sebelum layak ke separuh akhir dan mengalahkan Pasukan SR Penanjong.

Sementara itu Pasukan SR Binturan pula berjaya menewaskan Pasukan SR Bakiau di perlawanan awal sebelum mengalahkan Pasukan SR Muda Hashim sebelum bertemu SR Kupang di separuh Akhir.