SR Bukit Panggal juara tewaskan SR Lamunin

SR Bukit Panggal juara tewaskan SR Lamunin

Oleh Sim Y. H & Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Pasukan Sekolah Rendah (SR) Bukit Panggal berjaya menundukkan Pasukan SR Lamunin dengan jaringan 4-0 untuk muncul sebagai juara dalam Kejohanan Futsal Peringkat Akhir bagi Sekolah-sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta Kawasan Tutong 1 yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tutong, kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat pada perlawanan akhir tersebut dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pengerusi Lembaga Tadbir, Sekolah Chung Hwa Tutong, Soon Seng Lee.

Juga hadir ialah ketua kokurikulum Daerah Tutong, guru-guru besar sekolah yang terlibat serta guru-guru pengawas pasukan futsal sekolah-sekolah yang menyertai kejohanan itu.

Terdahulu sebelum perlawanan bermula, Soon Seng Lee telah diperkenalkan kepada guru-guru pengawas pasukan, pengadil-pengadil perlawanan dan pemain-pemain pasukan yang beraksi pada perlawanan akhir itu.

Dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, Pasukan SR Penanjong telah berjaya menewaskan Pasukan Ma’had Islam Brunei dengan jaringan 2-1 untuk menduduki tempat ketiga.

Pasukan juara, naib juara, ketiga dan keempat bergambar ramai bersama tetamu kehormat.
Pasukan juara, naib juara, ketiga dan keempat bergambar ramai bersama tetamu kehormat.

Sementara itu, pemain terbaik dan juga penjaring terbanyak dimenangi oleh Awang Yaswantnoah bin Yalim dari SR Bukit Panggal, manakala penjaga gol terbaik dimenangi oleh Awang Muhd Haqime Saifullah bin Abdullah juga dari SR Bukit Panggal, Tutong.

Kejohanan yang dijalankan selama tiga hari bermula 16 hingga 18 Mei itu disertai oleh 19 buah sekolah dan dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Cawangan Daerah Tutong dan dikendalikan oleh Sekolah Chung Hwa, Tutong selaku tuan rumah.

Kejohanan diharap dapat menjalinkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan murid di samping mengembangkan daya saing yang sihat dan keluruhan budi serta membina jasmani dan rohani yang sihat dan mantap.

Selain itu, kejohanan berkenaan juga dijalankan bagi memilih wakil pasukan futsal kawasan Tutong I untuk bertanding pada Kejohanan Pesta Sukan Sekolah-sekolah Rendah Senegara yang akan dijalankan di penghujung 2016 nanti.

ARTIKEL YANG SAMA