SR Dato Haji Mohd Yassin juara Brunei IIB

SR Dato Haji Mohd Yassin juara Brunei IIB

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Sekolah Rendah (SR) Dato Haji Mohd Yassin Mentiri menjulang kejuaraan Kejohanan Bolasepak Sekolah-Sekolah Rendah Kawasan Brunei IIB, 2016 melalui kemenangan 5-4 ke atas SR Kapok Muara selepas sepakan penalti penentuan.

Perlawanan akhir itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas masa sebenar sebelum SR Dato Haji Mohd Yassin Mentiri menyerlah dengan empat gol berturut-turut dalam sepakan penalti ketika SR Kapok Muara terlepas dua daripada lima tendangannya untuk memberikan SR Dato Haji Mohd Yassin Mentiri kemenangan 4-3.

Kejohanan di padang Sekolah Rendah Kapok Muara itu dimulakan dengan perlawanan penentuan tempat ketiga yang juga berkesudahan 1-1 dalam tempoh sebenar dan selepas sepakan penalti, SR Tanjong Kindana menang 6-5 ke atas SR Tanah Jambu untuk merebut tempat ketiga.

SR DHMY Mentiri bersama Haji Merali (lima kiri), Awang Zulkiflee, Pengiran Jusri dan Awang Mohamad (empat kanan).
SR DHMY Mentiri bersama Haji Merali (lima kiri), Awang Zulkiflee, Pengiran Jusri dan Awang Mohamad (empat kanan).

Ketua Pasukan SR Dato Haji Mohd Yassin Mentiri, Mohd Zulfadley Hazwan bin Julaihi telah dipilih sebagai Pemain Terbaik Kejohanan manakala penyerang SR Kapok Muara, Mohd Ali Fahmi bin Nordin pula telah dipilih sebagai Penjaring Terbanyak kejohanan selepas menjaringkan 11 gol.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Ketua Kampong Kapok, Haji Merali bin Haji Ahmad sambil diiringi Guru Besar SR Kapok Muara, Awang Zulkiflee bin Haji Duraman selaku pengerusi kejohanan.

Tahun ini, SR Kapok Muara telah diberikan mandat untuk mengendalikan aktiviti tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan bagi Kawasan Brunei IIB. Tururt hadir menyaksikan perlawanan akhir ialah Ketua Unit Jasmani, JPKK, Pengiran Jusri bin Pengiran Haji Hassim dan penolongnya, Awang Mohamad bin Haji Mohd Saat.