SR Dato Marsal muncul juara

SR Dato Marsal muncul juara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Sekolah Rendah (SR) Dato Marsal menjulang kejuaraan Kejohanan Sepak Takraw Bagi Sekolah-Sekolah Rendah Kawasan Brunei IIA dua tahun berturut-turut apabila turut menjuarainya tahun ini selepas menang 2-1 ke atas SR Lambak Kanan Jalan 49 pada perlawanan akhir kelmarin.

Lebih menarik lagi kejayaan itu dicatatkan dengan dua kebangkitan menarik bermula dengan kemenangan 15-12 pada set kedua selepas tewas 12-15 pada set pertama, disusuli dengan kebangkitan dari ketinggalan 3-8 pada set ketiga dan penentuan sebelum mengejar untuk menang 15-11.

Kehebatan pemain tekongnya, Muhd Nazriuddin bin Mohd Jailani yang banyak membantu pasukannya memperoleh mata penting ketika ketinggalan telah menarik perhatian hakim untuk memilihnya selaku penerima Anugerah Pemain Terbaik.

Merangkul tempat ketiga pula ialah SR Anggerek Desa yang berjaya mengalahkan SR Lambak Kanan Jalan 10 dengan kiraan dua set tanpa balas, 15-5 dan 15-7 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga, yang dijalankan sebelum perlawanan akhir bermula.

Haji Amir Abbas (sembilan, kanan) dan Pengiran Jusri (sembilan, kiri) bersama-sama empat pasukan terbaik kejohanan termasuk juara, SR Dato Marsal (hitam).
Haji Amir Abbas (sembilan, kanan) dan Pengiran Jusri (sembilan, kiri) bersama-sama empat pasukan terbaik kejohanan termasuk juara, SR Dato Marsal (hitam).

Hadir menyaksikan perlawanan akhir di Dewan Serbaguna, Sekolah Sukan, Kampung Pulaie itu dan kemudiannya menyempurnakan penyampaian piala, pingat dan hadiah kepada para pemenang ialah Pegawai Pelajaran Kanan merangkap Guru Besar SR Dato Marsal, Haji Amir Abbas bin Haji Zaini. Mengiringinya ialah Ketua Unit Jasmani, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Pengiran Jusri bin Pengiran Haji Hassim.

Kejohanan tahunan di kawasan terakhir bagi 2015 anjuran Bahagian Sukan & Permainan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan dan diselaraskan oleh Pegawai Penyelaras Kawasan Brunei IIA 2015, Mohd Nadzri bin Haji Mohd Adnan itu telah disertai sembilan buah sekolah dalam Kawasan Brunei IIA.

ARTIKEL YANG SAMA