SR DPS Ukong juara futsal Tutong

SR DPS Ukong juara futsal Tutong

Oleh Sim Y. H.

 

TUTONG, 23 Mei – Pasukan Sekolah Rendah (SR) Dato Pemancha Saging (DPS) Ukong berjaya menewaskan Pasukan SR Panchong, dalam sepakan penalti, 4-2, untuk muncul juara dalam Kejohanan Futsal Peringkat Akhir Bagi Sekolah-sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta Kawasan Tutong II yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tutong, hari ini.

Kejohanan yang dijalankan selama tiga hari bermula 19, 21 dan 23 Mei itu dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Cawangan Daerah Tutong dan di kendalikan oleh SR Abdul Rashid Tanjong Maya, Tutong selaku tuan rumah.

Hadir selaku tetamu kehormat di perlawanan akhir dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam kejohanan berkenaan ialah Pegawai Pelajaran/ Pegawai Kluster 5, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Pitar bin Pangkat.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah ketua kokurikulum Daerah Tutong, guru-guru besar sekolah yang menyertai kejohanan berkenaan serta guru-guru pengawas pasukan futsal sekolah-sekolah yang menyertai kejohanan itu.

Dalam perlawanan menentukan tempat ketiga dan keempat, Pasukan SR Pengiran Kasuma Negara (PKN) Bukit Beruang telah berjaya menewaskan Pasukan SR Tumpuan Telisai untuk menduduki tempat ketiga.

Juara kejohanan, Sekolah Rendah Dato Pemancha Saging, Ukong.
Juara kejohanan, Sekolah Rendah Dato Pemancha Saging, Ukong.

Sementara itu, dalam perlawanan akhir, pasukan SR DPS, Ukong dan Pasukan SR Panchong menunjukkan aksi yang sama hebat di mana kedua-dua pasukan seri 0-0 di akhir masa penuh perlawanan dan terpaksa menentukan pemenang melalui sepakan penalti yang dimenangi oleh SR DPS, Ukong 4-2 untuk dinobatkan juara kejohanan.

Di akhir perlawanan, Awang Pitar telah menyampaikan hadiah kepada para pemenang dan turut menyampaikan hadiah kepada pemain terbaik, Awang Elmie Eszualdynn bin Nordin dari SR DPS Ukong.

Kejohanan yang menyaksikan penyertaan daripada 12 buah sekolah rendah di Kawasan Tutong II merupakan salah satu kegiatan projek tahunan Jabatan Pendidikan Kokurikulum Cawangan Daerah Tutong.

Kejohanan itu diharap dapat menjalinkan hubungan silaturahim dalam kalangan murid di samping mengembangkan daya saing yang sihat dan keluruhan budi serta membina jasmani dan rohani yang sihat dan mantap di samping meningkatkan tahap disiplin murid.

Selain daripada itu, kejohanan berkenaan juga dijalankan bagi memilih wakil pasukan Futsal kawasan Tutong II untuk bertanding di Kejohanan Pesta Sukan Sekolah-Sekolah Rendah Senegara yang akan dijalankan di penghujung 2016 nanti.