SR DRHMJ pasukan terbaik

SR DRHMJ pasukan terbaik

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Sekolah Rendah (SR) Dato Ratna Haji Mohd Jaafar (DRHMJ), Kiarong muncul pasukan terbaik Kejohanan Badminton bagi Sekolah-sekolah Rendah Kerajaan & Pendidikan Swasta Kawasan Brunei III, 2016 selepas berjaya meraih dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa.

Dua emasnya diperolehi menerusi dua acara perseorangan iaitu menerusi Mohd Khairul Hakim bin Yahya dalam Perseorangan Lelaki dan Iffah Wadiah binti Ridzuan dalam Perseorangan Perempuan.

Semasa final Perseorangan Lelaki, Mohd Khairul Hakim menewaskan Awangku Mohd Idzzaham bin Mohd Hassan dari SR Rimba I, manakala Iffah Wadiah mengalahkan Ruhul Hidayah binti Mohd Akin, juga dari SR Rimba I, dalam perlawanan akhir Perseorangan Perempuan.

Emas Beregu Lelaki dimenangi pasangan Mohd Zharfan bin Sahrul dan Mohd Amar Mukhriz bin Hashim dari SR Orang Kaya Setia Bakti (OKSB), Kilanas selepas mereka berjaya menundukkan pasangan Awangku Mohd Zarul Aiman bin Pengiran Haji Mohd Mazlan dan Abdul Matin bin Roslan dari SR Tungku di perlawanan akhir.

Para pemenang Kejohanan Badminton Sekolah-sekolah Rendah Kawasan Brunei III bergambar ramai dengan tetamu kehormat dan AJK penganjur.
Para pemenang Kejohanan Badminton Sekolah-sekolah Rendah Kawasan Brunei III bergambar ramai dengan tetamu kehormat dan AJK penganjur.

Pasangan dari SR Tungku iaitu Isya Islam binti Mohd Taib dan Dayangku Sarah Nabilah binti Pengiran Maidi menidakkan emas ketiga buat SR DRHMJ, Kiarong apabila menewaskan pasangan dari sekolah berkenaan, Nur Hasrinah binti Saban dan Nurul Syahirah binti Norhaslimen di final Beregu Perempuan.

Gangsa Perseorangan Lelaki dimenangi Mohd Noramirul Alam dari SR Katok ‘A’, manakala gangsa Perseorangan Perempuan diraih oleh Nur Sabrina binti Haji Abdul Latif dari SR OKSB, Kilanas.

Mohd Haiqal Hakeemy bin Mohd Metaly dan Maz Wadihan Fauzan bin Maz Irwin dari SR DRHMJ, Kiarong merangkul gangsa Beregu Lelaki, sementara pasangan SR Rimba I, Aasyiqah binti Mohd Ibrahim dan Aida Asyikin binti Abdul Aziz memenangi gangsa Beregu Perempuan.

Hadir menyempurnakan hadiah kepada pemenang kejohanan tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Sekolah Sukan, Kampung Pulaie berkenaan ialah Ketua Unit Kegiatan Luar Sekolah, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Pengiran Othman bin Pengiran Karim.