SR Kampung Menengah juara takraw Tutong I

SR Kampung Menengah juara takraw Tutong I

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 26 Mei – Sekolah Rendah (SR) Kampung Menengah muncul juara setelah menewaskan SR Tutong Kem dalam Kejohanan Sepak Takraw Peringkat Akhir bagi Sekolah-sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta kawasan Tutong I, pagi tadi.

SR Binturan pula mendapat tempat ketiga setelah mengalahkan SR Muda Hashim.

Hadir selaku tetamu kehormat menyaksikan kejohanan tersebut ialah Ketua Kluster 5, Jabatan Sekolah-sekolah di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

Sebelum perlawanan akhir dimulakan, tetamu kehormat telah diperkenalkan kepada guru-guru pengawas pasukan, pengadil-pengadil kejohanan dan pemain-pemain yang berentap di peringkat akhir itu.

Awang Aliuddin menyampaikan hadiah kepada pasukan juara, Sekolah Rendah Kampung Menengah.
Awang Aliuddin menyampaikan hadiah kepada pasukan juara, Sekolah Rendah Kampung Menengah.

Sebanyak lapan buah sekolah rendah kawasan Tutong I telah menyertai kejohanan tersebut dan hanya empat buah sekolah sahaja yang berjaya memasuki peringkat separuh akhir iaitu SR Tutong Kem, SR Binturan, SR Kampung Menengah dan SR Muda Hashim.

Kejohanan Sepak Takraw Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan dan Swasta Kawasan Tutong I dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui cawangan Daerah Tutong yang mana dikendalikan oleh SR Keriam Tutong I selaku tuan rumah selama dua hari bermula pada 24 Mei lepas di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tutong.

Turut hadir menyaksikan kejohanan itu ialah Ketua Kokurikulum Daerah Tutong, guru-guru besar sekolah yang terlibat dan guru-guru pengawas pasukan sepak takraw sekolah-sekolah yang mengikuti kejohanan itu.

Tujuan kejohanan itu diadakan adalah sebagai salah satu kegiatan projek tahunan Jabatan Pendidikan Kokurikulum cawangan Daerah Tutong di samping dapat menjalinkan hubungan silaturahim dalam kalangan murid-murid.

Selain itu, menerusi Kejohanan ini juga, ia akan dapat mengembangkan daya saing yang sihat dan keluruhan budi serta membina jasmani dan rohani yang sihat dan mantap selain dapat meningkatkan tahap disiplin murid-murid.

Antara lain tujuannya ialah bagi memilih wakil pasukan sepak takraw kawasan Tutong I untuk bertanding di Kejohanan Pesta Sukan Sekolah-sekolah Rendah Senegara yang akan dijalankan pada penghujung tahun ini.