SR Lambak Kanan juara catur DST

SR Lambak Kanan juara catur DST

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Ogos – Sekolah Rendah Lambak Kanan, Jalan 49 muncul juara kejohanan DST National Age Group Chess Championship 2016 dalam Kategori Bawah 12 Tahun yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Persekutuan Catur Negara Brunei Darussalam (BCF) dengan kerjasama Sekolah Menengah Yayasan, Jabatan Pendidikan Kokurikulum dan penaja utama DST Group Sdn Bhd.

Dalam kategori itu, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) mendapat tempat kedua manakala Chung Hua Middle School, Kuala Belait mendapat tempat ketiga.

Sementara itu, bagi Kategori Bawah 12 Tahun, tempat pertama dimenangi oleh Abdul Zahirul Haq bin Zazali, tempat kedua Kyla Marie Q.Vallesfin dan Luv Kumar di tempat ketiga.

Kumpulan pelajar Sekolah Rendah Lambak Kanan, Jalan 49 yang menjuarai Kategori Bawah 12 Tahun.
Kumpulan pelajar Sekolah Rendah Lambak Kanan, Jalan 49 yang menjuarai Kategori Bawah 12 Tahun.

Di majlis itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Haji Abdul Rahim bin Derus menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan dan turut hadir menyaksikan penyampaian hadiah itu, Presiden BCF Haji Zainal Abidin bin Haji Ali.

Sementara dalam Kategori Bawah 16 Tahun dan di Bawah 20 Tahun, tempat pertama dijuarai oleh Mohd Zekree Leong bin Zainurin manakala Kamarul Ariffin bin Haji Kifli di tempat kedua manakala tempat ketiga disandang oleh Mohd Ridhwan bin Mohd Ismail.

Pertandingan yang dibukakan kepada orang ramai termasuk sekolah dan institusi tinggi itu bersempena dengan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-70 tahun.

Pertandingan catur ini juga merupakan program catur sekolah (CISP) sebagai inisiatif BCF sejak tahun 2015.

ARTIKEL YANG SAMA