SR Mabohai sa...

SR Mabohai sambut murid pra baru

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Jan – Sekolah Rendah (SR) Mabohai, di sini, hari ini, telah menyambut kemasukan seramai 28 orang murid pra baru yang dibahagikan kepada dua kelas iaitu Pra Fatanah dan Pra As Saddiq.

Kelihatan keriangan dan keterujaan terpancar di wajah kanak-kanak apabila bersua dan bermesra dengan  kawan-kawan baru, guru-guru dan bersedia untuk menghadapi cabaran akademik baru.

Lebih menarik, untuk pertama kalinya, sekolah berkenaan juga mengalu-alukan dua pasangan kembar ke dalam kelas, yang jarang berlaku menurut guru di sana. Pasangan itu ialah adik-beradik kembar Alexander dan Aidean Leong serta Mikha-il Keanan dan Iman Tabitha Sudiskam yang ibu bapanya berasal dari Indonesia.

Guru Kelas Pra, Dayang Kiah Mohd Said memberitahu Media Permata bahawa selepas lebih 30 tahun bekerja sebagai seorang pendidik, beliau tidak pernah berjumpa dua pasangan kembar yang memulakan prasekolah pada masa yang sama.

Beliau juga menyentuh keseronokan menerima murid-murid baru, namun katanya, dalam beberapa tahun kebelakangan, suasana kanak-kanak menangis sebaik ibu bapa pergi semakin berkurangan. Menurutnya, ini adalah berikutan Orientasi Pra Sekolah yang telah diadakan November lalu.

Murid-murid pra baru menjalankan pembelajaran di hari pertama persekolahan.
Murid-murid pra baru menjalankan pembelajaran di hari pertama persekolahan.

“Objektif utama orientasi adalah untuk mengurangkan tangisan apabila murid-murid memulakan persekolahan mereka. Pelbagai aktiviti telah dijalankan semasa orientasi tiga hari itu seperti permainan dan mewarna untuk membuat pelajar berminat untuk pergi ke sekolah,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi guru pra, Dayang Khairul Nita menjelaskan bahawa permulaan prasekolah merupakan satu saat yang sering dinanti-nantikan dengan penuh kegembiraan.

“Bagi kanak-kanak, sumber utama kebimbangan sekitar memasuki prasekolah adalah mereka sama sekali tidak mempunyai idea apa yang diharapkan,” katanya.

Beliau yang mempunyai kelayakan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak menambah bahawa mereka (murid-murid) telah menghabiskan tiga hingga empat tahun pertama belajar peraturan dan rutin kehidupan keluarga mereka dan memandangkan persekolahan telah bermula, mereka perlu membiasakan diri dengan rutin baru.

Beliau juga menyatakan bahawa perlunya untuk pembantu guru untuk membolehkan murid-murid mendapatkan yang terbaik daripada pengalaman persekolahan mereka.

Dalam pada itu, beliau juga melahirkan harapan supaya terdapat lebih ramai guru yang mahu membantu dan mengajar pelajar, termasuk pelajar keperluan khas kerana menurutnya, pelajar-pelajar ini perlukan perhatian secara langsung. Sekolah Rendah Mabohai mula beroperasi pada tahun 1978 dengan ketika ini mempunyai keramaian 251 orang pelajar, 29 orang guru dan 10 orang kakitangan sokongan.

Guru Besar, Dayang Salinawati binti Mohd Zainal menyatakan harapan bahawa dalam tahun 2017 ini, sekolah boleh terus menyediakan pendidikan yang berkualiti dengan menggunakan kemahiran abad ke-21.

Beliau juga melahirkan rasa gembira kerana terdapat peningkatan dalam penyertaan dan kerja berpasukan dalam kalangan ibu bapa dan masyarakat untuk kebaikan pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA