SR OKBI terima kunjungan dari Malaysia

SR OKBI terima kunjungan dari Malaysia

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Dengan hasrat mempelajari amalan-amalan terbaik dalam pengajaran, rombongan seramai 34 orang telah menyertai Program lawatan Penanda Aras anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu dan Majlis Guru Besar Bintulu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Malaysia ke Sekolah Rendah Orang Kaya Besar Imas (SR OKBI), Subok, Negara Brunei Darussalam, kelmarin.

Rombongan yang diketuai oleh Ketua Unit Pengurusan Organisasi Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu, Negeri Sarawak, Yusup bin Harbi mengadakan lawatan itu dengan matlamat bagi penambahbaikan prestasi dalam pengurusan pentadbiran pejabat dan sekolah.

Ketibaan rombongan itu ke SR OKBI Subok disambut oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Dayang Harifah Khalijah binti Mohammad, Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Belimbing, Yang Berhormat Haji Gapor @ Haji Mohd Daud bin Karim, Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Naim bin Haji Kamis, Ketua Kampung Subok, Haji Jais bin Md Salleh, para pegawai daripada Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan serta guru-guru sekolah tersebut.

Dalam lawatan berkenaan, rombongan telah dibawa melawat ke sekitar bilik-bilik darjah bagi meninjau sambil berinteraksi dengan pelajar yang sedang menjalani sesi pembelajaran.

Dayang Harifah Khalijah turut menyampaikan taklimat mengenai perkembangan sekolah dan diikuti sesi kongsi sama daripada Guru Besar Sekolah Kebangsaan Agama Bintulu, Negeri Sarawak, Su’ut bin Tahir.

Gambar ramai ahli-ahli rombongan dari Malaysia bersama kakitangan SR OKBI.
Gambar ramai ahli-ahli rombongan dari Malaysia bersama kakitangan SR OKBI.

Lawatan Penanda Aras itu merupakan agenda memperkasakan kaedah pengurusan organisasi alaf baru dan merupakan satu proses yang sistematik dan berterusan untuk mengenal pasti, mempelajari, mengubahsuai dan melaksanakan amalan-amalan yang baik.

Melalui proses penanda aras itu, akan dapat mengukur prestasi sendiri melalui perbandingan yang dibuat dan memilih amalan yang terbaik untuk dilaksanakan oleh peserta rombongan.

Selain daripada itu, ia dapat mewujudkan jaringan hubungan antarabangsa dalam konteks pembangunan pendidikan antara Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu dengan Kementerian Pendidikan serta sekolah-sekolah di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA