SR Pantai Berakas johan bola jaring

SR Pantai Berakas johan bola jaring

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Sekolah Rendah (SR) Pantai Berakas meraih pingat emas Kejohanan Bola Jaring Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan & Pendidikan Swasta Kawasan Brunei IIA setelah menewaskan SR Anggerek Desa 8-4 pada perlawanan akhir.

Memenangi tempat ketiga bersama ialah dua pasukan yang tewas pada peringkat separuh akhir iaitu SR Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang tewas 2-5 kepada SR Anggerek Desa dan SR Dato Othman yang kalah 3-9 kepada SR Pantai Berakas.

Hadir menyaksikan perlawanan akhir di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu dan menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Ketua Unit Jasmani, Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan, Pengiran Jusri bin Pengiran Haji Hassim.

Suku masa pertama perlawanan akhir dipimpin SR Pantai Berakas 2-0, namun suku masa kedua seimbang apabila kedua-dua pasukan masing-masing hanya berjaya menjaringkan satu gol untuk kedudukan 3-1 yang masih memihak SR Pantai Berakas.

Suku masa ketiga terus berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan berbalas-balas jaringan untuk masing-masing menambah dua gol bagi merubah kedudukan menjadi 5-3, terus dipimpin SR Pantai Berakas.

Pengiran Jusri menyampaikan piala juara kepada ketua pasukan SR Pantai Berakas.
Pengiran Jusri menyampaikan piala juara kepada ketua pasukan SR Pantai Berakas.

SR Pantai Berakas melebarkan jurang kepada 6-3 awal separuh masa keempat tetapi SR Anggerek Desa terus memberikan tekanan dan berjaya merapatkan semula kedudukan kepada 6-4.

Namun dua jaringan berturut-turut SR Pantai Berakas selepas itu menjadi penentu keputusan muktamad perlawanan dengan jaringan 8-4.

Kejohanan merupakan aktiviti tahunan JPKK, Kementerian Pendidikan dalam usaha berterusannya mencungkil bakat pelajar dalam sukan bola jaring di negara ini daripada peringkat akar umbi lagi.

Sejumlah 12 pasukan telah menyertainya termasuk SR Lambak Kanan Jalan 10, SR Dato Mahawangsa Lambak, SR Lambak Kanan Jalan 49, SR Dato Marsal, SR Dato Basir, ISB, Sekolah Stella dan SR Berakas Garrison.