SR Pengiran Dipa Negara juara pertandingan koir

SR Pengiran Dipa Negara juara pertandingan koir

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Sept – Sekolah Rendah (SR) Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai muncul sebagai juara Pertandingan Akhir Nyanyian Koir CfBT kali kedua antara Sekolah-sekolah Rendah yang disertai sebanyak 14 buah sekolah.

Manakala itu, tempat kedua dimenangi kumpulan SR Anggerek Desa dan kumpulan dari SR Lambak Kanan, Jalan 49 berada di tempat ketiga, dengan masing-masing menerima hadiah berupa wang tunai dan piala serta sijil.

Pertandingan berlangsung di Dewan Raya Radio Televisyen Brunei (RTB), di sini, hari ini disaksikan oleh Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Haji Brahim bin Haji Ismail yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada juara pertandingan yang membawa balik wang tunai sebanyak $500, piala iringan dan sijil.

Daripada 14 buah pasukan dari sekolah-sekolah rendah kerajaan di seluruh negara yang menyertai pertandingan itu, hanya 10 buah pasukan sahaja yang layak ke peringkat akhir iaitu dari SR Pulaie, SR Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai, SR Anggerek Desa, SR Lambak Kanan, SR Selangan, SR Datu Ahmad, SR Kapok, SR Pengkalan Batu, SR Nakhoda Abdul Rashid Menunggol dan SR Junjongan.

Kumpulan dari SR Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai muncul sebagai juara Pertandingan Akhir Nyanyian Koir CfBT kedua tahun 2016.
Kumpulan dari SR Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai muncul sebagai juara Pertandingan Akhir Nyanyian Koir CfBT kedua tahun 2016.

Dalam pertandingan ini, setiap kumpulan merangkumi tidak lebih 25 orang dan dimestikan menyanyikan lagu-lagu Bahasa Inggeris yang diiringi dengan satu instrumen muzik atau acapella. Setiap kumpulan dinilai dari segi vokal, interpretasi, ekspresi, pakaian dan alat.

Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Pusat Guru-guru British (CfBT) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum melalui Unit Akli dengan tujuan mengukuhkan kerjasama antara CfBT dan Kementerian Pendidikan.

Di samping itu, ia memberi peluang kepada murid-murid sekolah untuk membuat persembahan di khalayak ramai.

ARTIKEL YANG SAMA