SR Rataie terima Anugerah Emas

SR Rataie terima Anugerah Emas

Oleh Ampuan Irma Susanti Ampuan Hussain

 

SEKOLAH Rendah Rataie Mukim Bokok telah dinobatkan penerima Anugerah Emas dalam ‘Peraduan Kebersihan dan Keceriaan Sekolah, Maktab, Pusat Tingkatan Enam tahun 2016’ dalam kategori sekolah-sekolah rendah yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam baru-baru ini.

Menurut guru besar sekolah tersebut, Rohayati binti Haji Abdul Kadir, pihak sekolah sentiasa berusaha untuk mengekalkan dan meningkatkan tahap kebersihan sekolah dari masa ke masa dengan mengatur tugasan pembersih mengikut zon, memastikan tong sampah ditempatkan di tempat yang strategik, di samping menegaskan semua warga sekolah terutama murid-murid membuang sampah di tempat yang betul.

Selain itu, kebersihan tandas juga diambil perhatian. Penggunaan tandas sentiasa dipantau dan menasihatkan murid-murid untuk menggunakannya secara berhemah.

Kejayaan tersebut menjadi pendorong kepada pihak sekolah untuk mendapatkan pencapaian yang lebih baik.

Sekolah Rendah Rataie terletak di Rancangan Perumahan Negara Kampung Rataie di Mukim Bokok. Ia dibina pada tahun 2013 dan mula beroperasi pada tahun 2014 dengan mempunyai 222 orang murid, 23 orang guru dan 12 orang kakitangan.

Keadaan dalam tanda yang bersih. Penggunaan tandas sentiasa dipantau dan menasihatkan murid-murid untuk menggunakannya secara berhemah.
Keadaan dalam tanda yang bersih. Penggunaan tandas sentiasa dipantau dan menasihatkan murid-murid untuk menggunakannya secara berhemah.

Dengan visi dan misinya ke arah pendidikan berkualiti, mantap dan cemerlang serta meningkatkan potensi individu murid melalui pendidikan berkualiti, dalam masa yang singkat sekolah ini telah mempu mencapai peratus pencapaian akademik yang boleh membanggakan sehingga penghujung tahun 2015.

Selain kebersihan dan keselamatan kantin, persekitaran tandas yang bersih, ceria dan kondusif juga menyumbang kepada kualiti kesihatan warga sekolah secara tidak langsung.

Ini kerana, sekolah adalah rumah kedua bagi pelajar dan sebagai platform yang sangat penting ke arah membudayakan amalan cara hidup yang lebih sihat serta pembentukan sahsiah yang baik yang turut mempengaruhi gaya hidup mereka selain di rumah.

Dari aspek keceriaan dan kebersihan kawasan sekolah, guru besar memastikan persekitaran sekolah hendaklah sentiasa berada di tahap yang memuaskan seperti memastikan longkang dan saluran tidak tersumbat dan kotor, bunga-bunga dicantas dan rumput sentiasa dipotong. Untuk mengukuhkan dan menjayakan semua ini, pembentukan disiplin sekolah diperlukan di samping kerjasama semua pihak termasuk persatuan guru, ibu dan bapa(PIGB) dalam amalan kebersihan seharian.

Setiap hari murid-murid akan membersihkan kelas masing-masing sebelum, selepas rehat dan selepas belajar.

Dalam perancangan sekolah, guru besar menjelaskan pihaknya akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi tahap kebersihan dan keceriaan dengan menekankan nilai-nilai murni mengenai kepentingan menjaga kebersihan sekolah disamping mengadakan kempen-kempen kebersihan, aktiviti penanaman bunga dan peraduan keceriaan bilik-bilik darjah dan sebagainya.

Sebanyak empat buah sekolah rendah di Daerah Temburong telah tersenarai sebagai penerima anugerah peraduan tersebut pada tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA