SR Rimba I juara futsal Zon Brunei III

SR Rimba I juara futsal Zon Brunei III

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Sekolah Rendah (SR) Rimba I menangkis kebangkitan babak kedua SR Seri Mulia Sarjana dengan gol lewat bagi memuktamadkan kemenangan 4-2 sekali gus mengesahkan gelaran juara Kejohanan Futsal Sekolah-sekolah Rendah Zon Brunei III 2016 menjadi miliknya.

Pemain lincahnya, Awangku Mohd Idzzaham Alesah bin Pengiran Metale yang menyumbangkan dua gol semasa perlawanan akhir di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu telah diumumkan selaku penerima Anugerah Pemain Terbaik.

Pada aksi final hari ini, SR Rimba I selesa mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi jaringan Awangku Mohd Idzzaham pada minit ke-6 dan dua gol pantas Awangku Mohd Hakeem pada minit ke-8 dan 9.

SR Seri Mulia Sarjana bangkit seminit selepas rehat hasil jaringan Mohd Danish dan kemudiannya Asyraff Hirzan menambah jaringan pada minit ke-17 untuk merapatkan jurang kepada hanya satu gol iaitu 2-3,

Namun jaringan kedua peribadi Awangku Mohd Idzzaham dua minit kemudian, iaitu hanya beberapa saat sebelum pengadil meniupkan wisel penamat untuk gol keempat pasukannya yang terus memaksa lawannya akur tewas 2-4.

Juara Futsal Sekolah Rendah Zon Brunei III, SR Rimba I bersama Haji Metussin (3 dari kanan) dan ahli jawatankuasa kejohanan.
Juara Futsal Sekolah Rendah Zon Brunei III, SR Rimba I bersama Haji Metussin (3 dari kanan) dan ahli jawatankuasa kejohanan.

Perlawanan penentuan tempat ketiga turut berlangsung sengit dengan SR Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar Kiarong keluar sebagai pemenang menerusi gol Azizi Irfan dua minit sebelum perlawanan tamat, menghampakan SR Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibol Bandar dengan jaringan 3-2.

Azizi Irfan membuka tirai jaringan perlawanan pada minit ke-7 tetapi segera dibalas dua minit kemudian oleh Abdul Wafie untuk mengikat kedudukan 1-1 sehingga rehat.

Mohd Azim membawa SR Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar Kiarong di depan semula empat minit selepas rehat tetapi sekali lagi SR Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibol berjaya menyamakan kedudukan 2-2 selang tiga minit kemudian iaitu pada minit ke-17, sehinggalah gol kemenangan ledakan Azizi Irfan hadir pada minit ke-18.

Menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi kejohanan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan dan kelolaan SR Orang Kaya Setia Bakti Kilanas itu ialah Ketua Kluster 2, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Metussin bin Haji Rais. – Hasrulraizan

ARTIKEL YANG SAMA