SR Rimba I, PIBG anjur Sukan Ria

SR Rimba I, PIBG anjur Sukan Ria

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Nov – Sebelum musim cuti persekolahan bermula, pelbagai kegiatan akhir tahun dirancang bagi mengisi masa dan mengeratkan hubungan silaturahim bukan sahaja di antara murid-murid dan guru serta kakitangan sekolah tetapi juga bersama-sama ibu bapa murid-murid sekolah.

Sehubungan itu, Sekolah Rendah Rimba I mengadakan Sukan Ria SRR1 bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dengan hasrat untuk mengeratkan dan mengukuhkan lagi perhubungan antara ibu bapa dan guru dengan Sukan Ria berkenaan diadakan di kawasan Sekolah Rendah Rimba I, baru-baru ini.

Sukan Ria itu juga dihasratkan untuk memberi galakan kepada ibu bapa untuk ikut serta dalam aktiviti yang diadakan bersama anak-anak mereka di mana PIBG sekolah berkenaan juga turut terlibat dalam memberikan pendapat dan buah fikiran dalam pelaksanaan aktiviti Sukan Ria itu.

Salah satu acara yang diadakan sempena Sukan Ria yang diadakan di kawasan Sekolah Rendah Rimba I, baru-baru ini.
Salah satu acara yang diadakan sempena Sukan Ria yang diadakan di kawasan Sekolah Rendah Rimba I, baru-baru ini.

Acara dimulakan dengan senamrobik beramai-ramai yang diketuai oleh Persatuan Professional Zumba Instructor. Acara kemuncak Sukan Ria ini menyaksikan perlawanan bola jaring di antara pasukan ahli PIBG dan pasukan guru-guru yang mana kemenangan berpihak kepada pasukan guru-guru, manakala bagi sukan futsal, pasukan ahli PIBG dinobatkan sebagai juara.

Di samping kegiatan sukan yang dijalankan, pelbagai acara sampingan turut diadakan termasuk ‘floating Pingpong’, ‘orange skipping’, we’fie, ‘dancing around newspaper’, membawa bola pingpong dengan menggunakan sudu, memasukan bola ke dalam bakul, ‘ATV riders’, ‘Airwhell’ and cabutan nombor bertuah.