SR Sengkurong johan olahraga Brunei IV

SR Sengkurong johan olahraga Brunei IV

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Dengan mengutip sebanyak 14 pingat iaitu sembilan pingat emas, tiga perak dan dua gangsa, pasukan Sekolah Rendah (SR) Sengkurong dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan bagi Kejohanan Olahraga Sekolah-sekolah Rendah dan Pendidikan Swasta Zon Brunei IV, 2016 yang berlangsung di Padang Kebajikan, Jalan Berakas, di sini, hari ini.

Kejohanan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, dikendalikan oleh SR Bengkurong, Kluster 2, sebagai tuan rumah dan hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Awang Kifli bin Haji Jaafar, yang juga merupakan Yang Di-Pertua Persatuan Olahraga Brunei Darussalam.

Kejohanan yang diadakan selama dua hari iaitu pada 4 dan 5 Jun disertai oleh atlet-atlet dari sembilan buah sekolah iaitu SR Bengkurong, SR Mulaut, SR Lumapas, SR Jerudong, SR Menunggol, SR Sengkurong, SR Panglima Barudin Limau Manis, SR Pangkalan Batu dan Sekolah Bakti Dewa.

Dalam kejohanan itu, para atlet bertanding dalam pelbagai acara balapan dan padang selama dua hari dengan pusingan saringan akhir bagi acara padang diadakan pada 4 Jun manakala bagi acara balapan, pusingan saringan diadakan pada 4 Jun dan pusingan akhir diadakan pada 5 Jun.

Johan keseluruhan kejohanan olahraga, Sekolah Rendah Sengkurong bergambar ramai.
Johan keseluruhan kejohanan olahraga, Sekolah Rendah Sengkurong bergambar ramai.

Pada kejohanan itu, SR Lumapas telah dipilih sebagai pasukan perbarisan lalu terbaik, SR Sengkurong dipilih sebagai pasukan lelaki terbaik dengan mencatatkan kutipan sebanyak lapan pingat iaitu enam pingat emas, satu perak dan satu gangsa manakala pasukan perempuan terbaik dengan mencatatkan kutipan sebanyak lapan pingat iaitu tiga pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa ialah SR Panglima Barudin Limau Manis.

Awang Kifli turut menyampaikan hadiah kepada olahragawan terbaik iaitu Awang Mohd Muqri Izzudin bin Mohd Forizan dari SR Sengkurong yang mencatatkan sebanyak tiga kutipan pingat iaitu tiga pingat emas bagi acara 200 meter, 4×100 meter dan buang peluru.

Sementara itu, Dayang Norshamizah binti Roslan dari SR Panglima Barudin Limau Manis dipilih sebagai olahragawati terbaik dengan mengutip sebanyak tiga pingat iaitu satu pingat emas dan dua perak bagi acara 4×100 meter, 100 meter dan lontar lembing.