SR Sengkurong Juara Futsal

SR Sengkurong Juara Futsal

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Sekolah Rendah (SR) Sengkurong menang 2-1 ke atas SR Masin untuk merangkul kejuaraan Kejohanan Futsal Sekolah-Sekolah Rendah Kawasan Brunei IV, 2016 yang telah berlangsung hari ini.

Bukan itu saja, pemain utamanya iaitu Mohd Muqri Izzuddin bin Mohd Forizan telah diumumkan selaku penerima dua anugerah individu iaitu Anugerah Pemain Terbaik dan Anugerah Penjaring Terbanyak, yang dikongsinya bersama pemain SR Masin, Mohd Iman Fakhrullah bin Mohd Zaki.

Anugerah Penjaga Gol Terbaik pula menjadi milik penjaga gawang SR AHMY Katimahar, Abu Khair bin Abdul Aziz Hanafi yang banyak membantu pasukannya mara sehingga ke separuh akhir dan paling penting muncul wira dalam kemenangan 1-0 pasukannya ke atas SR Jerudong dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Empat pasukan terbaik kejohanan, SR Sengkurong (hijau), SR Masin (biru tua), SR AHMY Katimahar (biru muda) dan SR Jerudong (merah jambu) bergambar ramai bersama Pengiran Othman.
Empat pasukan terbaik kejohanan, SR Sengkurong (hijau), SR Masin (biru tua), SR AHMY Katimahar (biru muda) dan SR Jerudong (merah jambu) bergambar ramai bersama Pengiran Othman.

Hadir ke Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) menonton kedua-dua perlawanan dan kemudiannya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Unit Kegiatan Luar Sekolah, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Pengiran Othman bin Pengiran Haji Karim.

Kejohanan tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan itu buat tahun ini telah dikendalikan oleh SR Jerudong.

ARTIKEL YANG SAMA