SR Sengkurong kuasai Kejohanan Badminton

SR Sengkurong kuasai Kejohanan Badminton

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Tiada pasukan yang unggul dalam Kejohanan Badminton bagi Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan & Pendidikan Swasta Kawasan Brunei IV, 2016 tetapi Sekolah Rendah (SR) Sengkurong memastikan semua wakilnya naik ke podium dengan memungut 1 pingat emas, 1 perak dan 2 gangsa.

Pesaing terdekatnya, SR Jerudong memenangi 1 emas dan 1 perak, sementara SR Junjongan dan SR Lumapas masing-masing meraih 1 emas, SR Menunggol dan SR Riverside masing-masing merangkul 1 perak, dan SR Katimahar memungut 2 gangsa.

Menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang kejohanan tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan di Sekolah Sukan, Kampung Pulaie itu ialah Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SR Mulaut, Haji Mohammad Ezulabidin bin Haji Daud.

SR Sengkurong meraih emas melalui pemain perseorangan lelakinya, Mohd Nazri bin Danan yang menang 21-8 dan 21-9 ke atas Muhd Danish bin Abdullah dari SR Jerudong di perlawanan akhir. Gangsa diraih Abdul Rasyid bin Abdul Hamid dari SR Katimahar selepas dia menang 21-14 dan 21-19 ke atas pemain SR Bengkurong, Muhd Ahmad Irfan Shamie bin Hazmie.

Perseorangan Perempuan menyaksikan SR Junjongan merangkul emas menerusi Nur Atikah binti Zainurrizal yang mencatat kemenangan 21-11, 17-21 dan 21-18 ke atas Khairina Izzati binti Haji Bolhassan dari SR Sengkurong. Gangsa diperolehi pemain SR Katimahar, Dayangku Nurul Afifah binti Pengiran Haji Zainal yang menang 21-13 dan 21-18 ke atas SR Katimahar.

Para pemenang Kejohanan Badminton Sekolah Rendah Kerajaan & Pendidikan Swasta Kawasan Brunei IV 2016 bersama Haji Mohammad Ezulabidin.
Para pemenang Kejohanan Badminton Sekolah Rendah Kerajaan & Pendidikan Swasta Kawasan Brunei IV 2016 bersama Haji Mohammad Ezulabidin.

Kategori Beregu Lelaki menyaksikan emas menjadi milik SR Lumapas menerusi pemainnya, Mohd Nurshah Fikri bin Samsudin dan Akmal Arif Fahmi bin Katari yang mengalahkan Mohd Danial Saifudin bin Haji Shahrin dan Mohd Asreeza Nazrin bin Sabtu dari SR Menunggol 22-20 dan 23-21.

Gandingan Adi Hamizan bin Mat Azlan dan Mohd Hakim Ahza bin Haji Kamis menghadiahkan gangsa buat SR Sengkurong selepas menewaskan Muhd Raziq bin Haji Othman dan Mohd Darul Haziq bin Mohd Khirzafe 21-15 dan 21-16.

Aksi final Beregu Perempuan pula menyaksikan SR Jerudong menerusi gandingan Nurul Ain bin Mohd Azmie dan Nur Hidayatul Natasyah binti Malik memenangi emas selepas menundukkan Cayla Sabila Putri dan Nur Syasya Batrisya binti Dahrin yang mewakili SR Riverside dengan kiraan mata 21-5 dan 21-9.

Gangsa pula dimenangi SR Sengkurong selepas pemainnya, Nur Hakimah Adlina binti Hafiz Hafizie dan Nur Fatini Alya binti Awang Ali mengalahkan gandingan Nurul Izzatul Hidayah binti Abdullah Abdul Aziz dan Noraieen binti Yusof dari SR Menunggol 21-19, 8-21 dan 21-12.