SR Sungai Teraban paling menyerlah dalam PSR 2015

SR Sungai Teraban paling menyerlah dalam PSR 2015

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Dis – Sekolah-sekolah kerajaan mencatat peningkatan memberangsangkan dalam keputusan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) tahun ini berbanding PSR 2014, dengan sembilan buah sekolah kerajaan mencapai keputusan 100 peratus lulus dengan gred A-C dalam kelima-lima mata pelajaran.

Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Rendah (SR) Sungai Teraban, SR Labu Estate, SR Piasau-Piasau, SR Batang Mitus, SR Lubok Pulau, SR Bendahara Lama, SR Abd. Rashid Tanjong Maya, SR Benutan dan SR Merangking.

Manakala itu, sebanyak 72 buah sekolah telah menunjukkan peningkatan dalam lingkungan 0.05 hingga 60 peratus, demikian menurut kenyataan Kementerian Pendidikan yang dikeluarkan hari ini.

Melalui keputusan PSR 2015 yang dikeluarkan pada 28 November lalu, antara peningkatan yang dikesan adalah pencapaian para pelajar secara menyeluruh di tahap 67 peratus iaitu peratus pencapaian gred A ke C yang paling tinggi setakat ini.

Peratus peningkatan di sekolah-sekolah kerajaan juga meningkat daripada 58.6 peratus kepada 62.9 peratus (PSR 2015) iaitu pertambahan sebanyak 4.32 peratus daripada keputusan PSR 2014.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan itu, turut menunjukkan statistik perbandingan peningkatan pencapaian gred A – C dalam PSR 2014 dan 2015, dan berdasarkan daripada statistik itu, sebanyak lapan buah sekolah mencatat peningkatan lebih 30 peratus.

SR Sungai Teraban mencatat peningkatan tertinggi sebanyak 60 peratus daripada 40 peratus (PSR 2014) kepada 100 peratus (PSR 2015) diikuti SR Labu Estate sebanyak 57.14 peratus; SR Piasau-Piasau 50 peratus; SR Haji Mohd Jaafar Maun, Kiulap 45.23 peratus; SR Batang Mitus 33.33 peratus; SR Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai 32.92 peratus; SR Panchor Murai dan SR Lubok Pulau masing-masing mencatat peningkatan sebanyak 30 peratus.

Sementara itu, lima lagi sekolah telah mempertahankan pencapaian tahun lalu iaitu SR Kasat (80 peratus), SR Benutan (100 peratus), SR Dato Pemancha Saging Ukong (50 peratus), SR Merangking (100 peratus) dan SR Semabat (66.67 peratus).

Dalam usaha berterusan untuk memantapkan pencapaian dan khidmat pendidikan yang diberikan di sekolah-sekolah, selain menggubal program dan inisiatif pengukuhan, Kementerian Pendidikan turut melaksanakan usaha pemantapan melalui ketua-ketua kluster yang memberi sokongan kepada sekolah-sekolah.

Selain itu, sesi komunikasi seperti bengkel, dialog, sesi muzakarah dan perjumpaan turut diadakan sepanjang tahun sebagai saluran untuk pihak kementerian mengongsikan dasar dan inisiatif kepada warga yang berkhidmat di sekolah.

Pada masa yang sama, ini juga merupakan landasan bagi para pemimpin sekolah dan para pendidik untuk menyalurkan pandangan, input serta cabaran semasa yang dihadapi di peringkat sekolah.

Kementerian dalam kenyataannya menambah, komunikasi dua hala dan pelbagai peringkat serta dapatan kajian daripada pihak yang berkenaan akan dapat menyumbang ke arah pengukuhan prestasi PSR.

Dengan tumpuan kepada aspek-aspek yang relevan umpamanya kepimpinan sekolah, akauntabiliti terhadap prestasi, pengukuhan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pemedulian terhadap kehadiran pelajar serta sokongan para ibu-bapa, masyarakat, majikan dan sektor swasta akan dapat menghasilkan sinergi ke arah matlamat pendidikan negara.

Segala usaha padu dan kerja keras warga sekolah serta sokongan kuat para ibu bapa pelajar sepanjang tahun 2015 ini, menurut kenyataan itu lagi, haruslah diberikan pujian dan ucapan tahniah kerana akhirnya membuahkan hasil dalam bentuk peningkatan pencapaian.

Peningkatan dan kejayaan pencapaian para pelajar ini merupakan suatu kepuasan kepada pihak sekolah termasuk pemimpin, guru-guru, kakitangan sekolah serta para ibu bapa yang akan memacu usaha lebih gigih ke arah merealisasikan sasaran pendidikan anak-anak Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA