SR Telisai terima sumbangan BGC

SR Telisai terima sumbangan BGC

Oleh Normazlina M.D
Gambar oleh Azaraimy HH

 

TUTONG, 11 Julai – Berikutan kejadian kebakaran kecil di Sekolah Rendah (SR) Telisai, Tutong, Brunei Gas Carriers Sdn Bhd (BGC), hari ini, tampil menghulurkan sumbangan untuk sekolah berkenaan bagi membeli barangan atau perkakasan sekolah.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Eksekutif Korporat dan Hal Ehwal Luar, Sharifah Eliza Elaine binti Syed Haji Hashim kepada Guru Besar SR Telisai, Awang Mohamad Ali bin Haji Nudin.

Turut hadir pada majlis yang berlangsung di sekolah berkenaan ialah Penghulu Mukim Telisai, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, dua kejadian kebakaran kecil telah memusnahkan dua bilik darjah iaitu bilik Darjah 6 dan Bilik Pendidikan Khas.

Awang Mohamad Ali memberitahu media bahawa pada masa ini, murid-murid Darjah 6 telah ditempatkan di dewan sekolah tersebut, manakala itu, murid-murid yang menerima pendidikan khas telah ditempatkan di bilik persidangan sekolah buat sementara waktu.

Beliau turut mengucapkan setinggi penghargaan kepada BGC kerana memberikan sumbangan kepada pihak sekolah dan pihak sekolah amat menghargai sumbangan yang pertama kali diadakan tersebut.

Sumbangan daripada pihak BGC Sdn Bhd diserahkan kepada Guru Besar Sekolah Rendah Telisai, Tutong.
Sumbangan daripada pihak BGC Sdn Bhd diserahkan kepada Guru Besar Sekolah Rendah Telisai, Tutong.
Pihak BGC Sdn Bhd menyaksikan bilik darjah yang musnah akibat kebakaran kecil yang berlaku kelmarin.
Pihak BGC Sdn Bhd menyaksikan bilik darjah yang musnah akibat kebakaran kecil yang berlaku kelmarin.

Dayang Sharifah Eliza bagi mewakili BGC pula menjelaskan, sumbangan bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada Inisiatif Pelaburan Sosial BGC untuk memberi bantuan kewangan kepada sekolah yang menjadi mangsa kebakaran.

Dengan sumbangan tersebut, BGC berharap ia akan dapat membantu sekolah berkenaan dalam menyediakan alat-alat perkakas persekolahan yang baru untuk murid-murid berkenaan.

Menurutnya lagi, sumbangan tersebut akan digunakan untuk membeli alat keperluan atau peralatan khusus bagi Pendidikan Khas kerana kebanyakan perkakas mereka telah musnah dijilat api.

Sebelum ini, BGC melalui Inisiatif Pelaburan Sosial BGC juga pernah menyampaikan sumbangan kepada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan dalam ‘Projek Amal’. Selain itu, BGC juga pernah mengadakan majlis bersungkai bersama pelajar-pelajar berkeperluan khas termasuk

KACA dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam bersempena bulan Ramadan yang lalu di Dewan Tarindak D’Seni, Kota Batu.

ARTIKEL YANG SAMA