SR Tungku juara bola jaring

SR Tungku juara bola jaring

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Mei – Sekolah Rendah (SR) Tungku muncul juara setelah berjaya mengalahkan SR Kiarong 14-4 pada final Kejohanan Bola Jaring Sekolah-sekolah Rendah Negara Brunei Darussalam Zon III di Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah hari ini.

Pasukan dari SR Kiarong yang muncul naib juara telah mengalahkan SR Katok ‘A’ dengan kemenangan 8 gol berbalas 2 manakala SR Kampung Mata-mata yang kalah 0-18 kepada Sekolah Rendah Tungku berkongsi tempat ketiga bersama Sekolah Rendah Katok ‘A’.

Hadir selaku tetamu kehormat untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Haji Puteh bin Haji Timbang yang hadir sebagai wakil peribadi kepada Pengiran Haji Jusri bin Pengiran Haji Hashim, Ketua Unit Jasmani Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan.

Acara bermula dengan perlawanan separuh akhir pertama apabila Sekolah Rendah Kiarong menunjukkan keunggulan dengan mendahului Sekolah Rendah Katok ‘A’ dengan jaringan 4 gol berbalas 1 pada suku pertama.

Tetamu kehormat (dua kiri) menyampaikan piala kemenangan kepada guru SR Tungku.
Tetamu kehormat (dua kiri) menyampaikan piala kemenangan kepada guru SR Tungku.

Dominasi Sekolah Rendah Kiarong diteruskan pad suku kedua dengan menambah empat jaringan lagi sementara Sekolah Rengah Katok ‘A’ hanya berjaya menambah satu jaringan menjadikan keputusan perlawanan berkesudahan 8-2.

Perlawanan separuh akhir kedua menyaksikan SR Tungku mendominasi keseluruhan perlawanan menentang SR Kampung Mata-Mata dengan berjaya menjaringkan 12 gol pada suku pertama dan menambah enam gol lagi pada suku kedua perlawanan.

Sebanyak 11 buah sekolah mengambil bahagian dalam kejohanan bola jaring itu.