SR YSHHB tinjau program ICT SRLK

SR YSHHB tinjau program ICT SRLK

SERAMAI 116 pelajar Tahun 6 Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), bersama beberapa guru pengawas telah mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Lambak Kanan (SRLK) Jalan 49, Kluster 3, baru-baru ini.

Ketibaan rombongan dialu-alukan oleh guru besar sekolah berkenaan, Hajah Noorliah binti Haji Aspar.

Sebelum acara diteruskan, bacaan surah Al Fatihah dan doa selamat diketuai oleh Awang Kassim dan diteruskan dengan pembahagian pelajar-pelajar Sekolah Rendah (SR) YSHHB  di kelas-kelas yang telah ditentukan bagi mengikuti pembelajaran yang dijalankan khususnya pembelajaran yang mengunakan teknologi ICT.

Sementara itu, guru-guru pengawas SR YSHHB turut diberikan taklimat mengenai profil sekolah oleh Hajah Noorliah manakala  perkembangan pengunaan teknologi  ICT dalam pembelajaran dan pengajaran di sekolah itu telah disampaikan oleh Ketua WSID (Whole School ICT Development), Dayang Ruzanna binti Zainal Abidin.

Hajah Noorliah ketika memberikan ucapan alu-aluan kepada rombongan SR YSHHB.
Hajah Noorliah ketika memberikan ucapan alu-aluan kepada rombongan SR YSHHB.
Sebahagian para pelajar SR YSHHB yang  menyertai program lawatan itu.
Sebahagian para pelajar SR YSHHB yang menyertai program lawatan itu.

Ucapan alu-aluan

Hajah Noorliah dalam ucapan alu-aluanya merasa bersyukur kerana dengan lawatan  yang julung-julung kalinya dari SR YSHHB ini akan dapat menambah lagi ‘partner school’ dengan sekolah-sekolah dalam negeri khasnya sekolah bukan kerajaan, selain itu pihak sekolah juga sering menerima lawatan dari sekolah-sekolah luar negara.

Menyentuh mengenai penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah itu, beliau turut menyatakan mengenai komitmen pihak sekolah yang komited  dalam memperkenalkan budaya merentasi ICT dan mengunakan pendekatan yang berkesan dalam mempromosikan perubahan budaya sekolah ke arah budaya pengunaan ICT yang berinovasi.

Idea-idea pendekatan baru

Beliau juga berharap lawatan tersebut akan dapat menjadi platform yang dapat mencetuskan idea-idea pendekatan baru dalam rangka pendidikan di samping dapat meningkatkan pencapaian akademik bagi manfaat pelajar-pelajar bagi kedua-dua buah sekolah.

Manakala itu, menurut Guru Besar SR YSHHB, Dayang Norbaini binti Haji Abdullah selaku ketua rombongan menyatakan, lawatan itu dilakukan bagi memberikan pengalaman dan pendedahan secara langsung kepada para pelajar dan guru-guru sekolahnya mengenai kemudahan-kemudahan  dan pendekatan pengajaran yang terdapat di sekolah-sekolah kerajaan.

Lawatan itu juga bertujuan bagi meninjau proses pembangunan keupayaan manusia mengunakan ICT di seluruh sekolah yang merupakan sebagai salah satu projek utama e-hijrah yang menekankan pengunaan dan amalan ICT di bilik-bilik darjah. – NAJ

ARTIKEL YANG SAMA