SRDC perlu cari jalan untuk jana pendapatan

SRDC perlu cari jalan untuk jana pendapatan

SIBU, 10 Ogos – Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC) perlu menjana pendapatan supaya pihak berkuasa tempatan itu mampu membina lebih banyak kemudahan di dalam kawasan pentadbirannya.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Masing berkata kawasan SRDC terdiri daripada lima dewan undangan negeri dan kebanyakannya tidak dihubungi dengan baik oleh jalan raya.

“Antara perkara yang perlu dilakukan ialah bagaimana untuk SRDC menjana pendapatan bagi membina kemudahan di kawasan ini,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan pelantikan Ahli Majlis SRDC di sini hari ini, beliau berkata salah satu sumber pendapatan yang boleh diperoleh oleh majlis daerah itu ialah dengan mengenakan bayaran parkir.

Masing berkata bayaran parkir adalah sumber pendapatan untuk pihak berkuasa tempatan di seluruh negeri.

Beliau juga mencadangkan SRDC untuk menilai kadar cukai taksiran, sama ada perlu dikaji semula atau tidak.

Sejumlah 31 individu mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis SDRC pada majlis itu termasuk Pengerusinya Sempurai Petrus Ngelai dan Timbalan Pengerusi, Robert Lau Hoi Yew. – Bernama