Sri Lanka sambut baik jaminan tanah, tuntut tamat pendudukan tentera

Sri Lanka sambut baik jaminan tanah, tuntut tamat pendudukan tentera

COLOMBO, 4 Jan (AFP) – Pembangkang utama Sri Lanka hari ini mengalu-alukan jaminan Presiden Maithripala Sirisena mengenai peruntukan tanah kepada 100,000 orang yang dipaksa keluar dari rumah mereka semasa perang saudara yang lama, kebanyakannya masyarakat Tamil.

Perikatan Kebangsaan Tamil (TNA) mengatakan jaminan Sirisena untuk menempatkan orang awam ke atas plot baru dalam masa enam bulan adalah satu ‘perkembangan positif’, namun menuntut pengosongan tentera ke atas tanah persendirian yang didudukinya.

“Ini adalah pertama kalinya dia memberi rangka masa,” jurucakap TNA, M.A Sumanthiran memberitahu AFP sehari selepas Sirisena membuat tawaran tersebut.

“Kami mengalu-alukan perkembangan yang sangat positif ini namun pendirian kami adalah pihak tentera perlu mengosongkan semua tanah persendirian yang mereka duduki.”

Sirisena, yang dipilih pada Januari lepas, telah mendapat pujian kerana mula untuk menyerahkan semula tanah selepas tamatnya perang etnik paling berdarah dan terpanjang di Asia Selatan, pada Mei 2009. Namun dia juga berdepan tekanan antarabangsa untuk bertindak lebih bagi memastikan perdamaian.

Presiden itu memberitahu AFP dalam temu bual kelmarin yang dia akan menyerahkan tanah kepada orang awam yang berpindah akibat perang menjelang pertengahan tahun ini.

Dia mengakui ia adalah ‘sasaran hebat’ namun mengatakan adalah perlu untuk menamatkan apa yang digelarnya satu ‘situasi tidak dapat diterima’.

Lebih 100,000 orang masih lagi hidup di tempat lain lebih enam tahun selepas tamatnya perang, kata Sumanthiran, sementara 168,000 lagi hidup sebagai pelarian di negara jiran India.

ARTIKEL YANG SAMA