Sri Nazrina wakil Brunei ke pesta lagu klasik di Beijing

Sri Nazrina wakil Brunei ke pesta lagu klasik di Beijing

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Dis – Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan bersama-sama negara anggota ASEAN yang lain untuk menonjolkan budaya dan lagu-lagu klasik pilihan menerusi Konsert Persahabatan China-ASEAN yang akan berlangsung di Beijing, 16 Disember nanti.

Sehubungan itu, Radio Televisyen Brunei (RTB), menghantar seorang artis negara iaitu Sri Nazrina bagi mempersembahkan lagu klasik ‘Anak Derhaka’ semasa konsert persahabatan berkenaan.

Konsert Persahabatan China-ASEAN 2015 merupakan anjuran bersama Radio Antarabangsa China (CRI), Jabatan Pentadbiran Penerangan, Penerbitan, Radio, Filem dan Televisyen Guangxi.

Sebelas buah negara iaitu negara-negara anggota ASEAN termasuk China akan menghantar artis masing-masing untuk menyanyikan lagu-lagu klasik yang dipilih oleh pihak CRI sebagai tanda persahabatan dan penghormatan China kepada budaya ASEAN.

Sri Nazrina ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum berlepas ke China, hari ini, menyatakan kepada Media Permata bahawa beliau amat gembira dan bersyukur kerana telah dipilih mewakili negara untuk mempersembahkan sebuah lagu yang penuh bermakna bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada rakyat Brunei.

Sri Nazrina akan mendendangkan lagu ‘Anak Derhaka’ semasa Konsert Persahabatan ASEAN-China di Beijing, 16 Disember nanti.
Sri Nazrina akan mendendangkan lagu ‘Anak Derhaka’ semasa Konsert Persahabatan ASEAN-China di Beijing, 16 Disember nanti.

Beliau akui berasa gementar kerana bakal membuat persembahan di atas pentas yang besar itu nanti tetapi yakin mampu untuk memberikan persembahan yang terbaik pada hari konsert berkenaan.

Menurut pihak CRI, China dan negara anggota ASEAN bukan sahaja jiran baik, tetapi juga mempunyai keunikan budaya masing-masing yang boleh diterima satu sama lain. Seni muzik pula merupakan salah satu budaya yang memang wujud dari dulu lagi.

Konsert yang bertemakan ‘Rantau Kita, Lagu Kita’ (Our Region Our Song) ini dihasratkan untuk meningkatkan persefahaman antara rakyat China dan negara-negara ASEAN, membangkitkan rasa mesra bagi khalayak ramai terhadap budaya masing-masing, dan menghebahkan persahabatan dan keharmonian bagi rantau ini.

Dalam membuat pemilihan lagu klasik, delegasi penggambaran CRI dan Stesen TV Guangxi telah melawat ke 10 buah negara ASEAN untuk mencari lagu-lagu klasik yang dapat memperlihatkan dan mewakili budaya negara masing-masing termasuk Negara Brunei Darussalam.

Sebagai hasil perbincangan dan kerjasama dengan pihak RTB, lagu ‘Anak Derhaka’ telah dipilih sebagai lagu yang mewakili budaya Brunei, berdasarkan lirik dan alunan muziknya yang mencerminkan sejarah dan pengajaran daripada kisah ‘Nakhoda Manis’. Pihak CRI berpendapat lagu itu harus diketengahkan kepada masyarakat di China.

ARTIKEL YANG SAMA