SSCIA anjur acara tarian kumpul dana

SSCIA anjur acara tarian kumpul dana

SIBU, 8 Julai (Bernama) – Persatuan Kecederaan Spina Sibu (SSCIA) dan Lions Club of Region 2 akan menganjurkan Jelajah Tarian Kerusi Roda Amal Antarabangsa pada 28 Ogos bagi mengumpul dana sebanyak RM200,000 untuk projek sambungan bangunan SSCIA.

Pengerusi penganjur Liu Bee Sang berkata persatuan itu menjemput Kumpulan Tarian Kerusi Roda Beyond Limit dan juara dunia tarian kerusi roda, Sophi Lin dari Taiwan serta kumpulan tarian tempatan, Dua Space Dance Theatre yang diketuai pengarah urusannya merangkap koreografer Anthony Meh, untuk membuat pertunjukan pada hari berkenaan.

“Selain daripada mereka, enam anggota persatuan yang membentuk Kumpulan Sayang akan mengadakan persembahan muzik bagi menunjukkan kemampuan mereka walaupun mempunyai batasan fizikal,” kata Liu.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, hari ini, beliau berkata penyambungan bangunan itu akan memanfaatkan 36 anggota SSCIA yang mengalami kecederaan saraf tunjang.

Beliau berkata acara itu, yang dinamakan ‘Dance of Hope and Love’, juga bertujuan untuk memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kecederaan saraf tunjang selain menaikkan semangat mereka yang menghadapi kurang upaya fizikal.

Penganjur bersama Mary Wong dari Lions Club Region 2 berkata dana itu akan diraih menerusi penajaan tiket untuk menyaksikan acara tarian itu.