St Andrew, Ma’had Islam juara STEM

St Andrew, Ma’had Islam juara STEM

Gambar oleh Syazwani Haji Rosli

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – Pertandingan Berasaskan Permainan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik) yang julung-julung kalinya dianjurkan bersama oleh Pusat STEP, Kementerian Pendidikan dan Telekom Brunei Berhad (TelBru) berakhir kelmarin dengan majlis penyampaian hadiah, forum dan pameran.

Majlis berlangsung di Dewan Indah, Kelab Rekreasi Diraja Brunei, Berakas dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil kepada para pemenang. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay.

Menurut kenyataan TelBru, pertandingan ini adalah projek berkumpulan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Peringkat Rendah (Tahun 4 hingga 6) dan Peringkat Menengah (Tahun 7 hingga 10) untuk menghasilkan projek berasaskan permainan interaktif, yang bertujuan merangsang dan memupuk minat para pelajar di seluruh negara ke arah STEM dan akhirnya boleh digunakan sebagai alat pengajaran dan pembelajaran subjek-subjek STEM.

Muncul juara dalam Peringkat Rendah ialah Pasukan Sekolah St Andrew dengan projek mereka ‘World of Multiplication and Divisions’ dan Pasukan Ma’had Islam Brunei Tutong menjuarai Peringkat Menengah dengan projek ‘Food Detective,’ yang mana kedua-duanya menerima wang tunai $800, trofi dan sijil.

Sementara itu, tempat kedua dalam Peringkat Rendah disandang oleh Sekolah Rendah Panaga dengan projek bertajuk ‘Heart of Borneo diikuti Sekolah Rendah Awang Haji Md Yussof di tempat ketiga menerusi projek ‘The Warrior Board.’

Juara peringkat sekolah rendah ialah Sekolah St Andrew.
Juara peringkat sekolah rendah ialah Sekolah St Andrew.
Pasukan Ma’had Islam Tutong menerima replika cek daripada tetamu kehormat selepas menjuarai kategori sekolah menengah.
Pasukan Ma’had Islam Tutong menerima replika cek daripada tetamu kehormat selepas menjuarai kategori sekolah menengah.
Antara yang menghadiri majlis itu, semalam.
Antara yang menghadiri majlis itu, semalam.

Bagi Kategori Menengah pula, Sekolah Menengah Chung Hwa menduduki tempat kedua dengan projek mereka ‘Toxic Strike’ dan Pasukan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) di tempat ketiga dengan projek ‘The Altered Universe’. Pemenang kedua dan ketiga bagi kedua-dua kategori masing-masing menerima wang tunai $600 dan $400 berserta trofi dan sijil.

Menurut kenyataan itu, di samping melibatkan para pelajar dengan pengalaman pembelajaran interaktif dan menyeronokkan, pertandingan ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mewujudkan minat terhadap STEM bagi meningkatkan pembelajaran dan pemahaman dalam subjek-subjek berkaitan dengan STEM serta menggalakkan para pelajar untuk memilih bidang-bidang di bawah STEM sebagai kerjaya masa depan.

Pada majlis itu, forum turut diadakan dengan melibatkan graduan-graduan STEM, yang menyediakan platform membincangkan dan memberi aspirasi kepada para pelajar untuk memilih kerjaya-kerjaya STEM.

Forum berkenaan menampilkan tiga ahli panel iaitu Pengurus Projek IT TelBru, Dayang Izyani binti Haji Brahim; Ketua West Asset Reliability dari Brunei Shell Petroleum (BSP), Stephanie Koh; dan Ketua Bahagian Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Abdul Ghafor di mana mereka mengongsikan pengalaman-pengalaman mereka dalam pendidikan dan kerjaya STEM.

Majlis kemudian diakhiri dengan pameran oleh semua sekolah yang ikut serta dalam kedua-dua kategori pertandingan berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, pertandingan bertema ‘Engaging and Inspiring Brunei Students in Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM)’ ini merupakan perkongsian strategik TelBru dengan Pusat STEP untuk menyokong dan mempromosikan pembangunan STEM dalam kalangan pelajar di Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA