St Villa juara tarik kalat

St Villa juara tarik kalat

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 7 Jun – Pasukan St. Villa menjuarai Pertandingan Tarik Kalat Tradisi sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-69 Peringkat Daerah Belait tahun ini selepas mengalahkan Pasukan Firebreaker dalam Kategori A 70kg, manakala Pasukan DX Litio meraih tempat ketiga.

Pertandingan yang berlangsung di Padang Bandaran Kuala Belait, semalam dan disaksikan oleh ramai penduduk sekitar juga menyaksikan Kategori B 1,100Kg dimenangi oleh Pasukan KB Bull Brother selepas menewaskan Pasukan Anak Brunei Brother dan Pasukan DX Litio meraih tempat ketiga.

Dalam Kategori C Remaja, ST Villa juga muncul juara setelah mengalahkan Pasukan KB Bull Remaja B dan tempat ketiga disandang oleh KB Bull Remaja A.

Kategori D yang terbuka untuk sekolah-sekolah dimenangi oleh Sekolah Rendah (SR) Panaga, Seria selepas menewaskan SR Ahmad Tajuddin dengan tempat ketiga dimenangi oleh SR Pengiran Setia Negara Pengiran Md Yussof.

Tetamu kehormat menyampaikan piala kepada para pemenang.
Tetamu kehormat menyampaikan piala kepada para pemenang.
St Villa meraikan dua piala kemenangan pertandingan tarik kalat.
St Villa meraikan dua piala kemenangan pertandingan tarik kalat.
Aksi dramatik pertandingan tarik kalat di Padang Bandaran Kuala Belait, semalam.
Aksi dramatik pertandingan tarik kalat di Padang Bandaran Kuala Belait, semalam.

Hadir menyaksikan perlawanan akhir dan menyampaikan hadiah dan piala kepada pemenang ialah tetamu kehormat I acara itu Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara Haji Mohd Yussof bin Dulamin, Ketua Kampong Mumong, Kuala Belait.

Beliau juga menyaksikan perlawanan khas di antara jawatankuasa tertinggi sambutan perayaan dengan jawatankuasa kejohanan serta dipelawa bertemu dengan pengurus setiap pasukan.

Kehadiran tetamu kehormat juga diiringi oleh Pegawai Daerah Belait Haji Harris bin Othman dan Penolong Pegawai Daerah Belait iaitu Awang Hasmiron bin Haji Taib.

ARTIKEL YANG SAMA