Stadium Piala Dunia Rusia bermasalah

Stadium Piala Dunia Rusia bermasalah

MOSCOW, 19 Julai – Presiden Rusia Vladimir Putin semalam mengarahkan para pegawai di St. Petersburg untuk mempercepatkan pembinaan stadium yang dilanda masalah yang dijadualkan untuk menjadi hos bagi perlawanan Piala Dunia 2018, termasuk perlawanan separuh akhir.

Dalam dekri yang diterbitkan semalam dalam laman sesawang Kremlin, Putin berkata stadium itu secara sementara dinamakan Zenit Arena, dan satu lagi infrastruktur perlu dibangunkan tepat pada masanya.

Dekri tersebut berkata, Putin mengarahkan para pegawai untuk ‘menyerapkan langkah-langkah menyeluruh untuk menghapuskan jurang’ dalam jadual pembinaan stadium tersebut.

Dia memberikan arahan yang sama kepada pihak berkuasa tempatan di Samara dan KaLiningrad, di mana dua buah stadium Piala Dunia yang lain sedang dibina.

Stadium di bandar kedua terbesar Rusia itu dibina hampir sedekad, dan St. Petersburg City Hall Jumaat lalu mengumumkan ia telah memecat kontraktor atas dakwaan kos berlebihan dan penangguhan.

Stadium tersebut yang sepatutnya disiapkan tahun ini dan digunakan bagi Piala Konfederasi 2017, dianggarkan berharga lebih dari AS$620 juta.

Jurucakap FIFA, Delia Fisher memberitahu The Associated Press semalam bahawa FIFA menjangka stadium itu akan disiapkan pada bulan Disember.

Menteri Sukan Rusia Vitaly Mutko memberikan jaminan minggu lalu bahawa stadium itu akan dibangunkan tepat pada masanya bagi menghoskan Piala Konfederasi. – AP