‘Stagefright’ ancaman pada pengguna Android

‘Stagefright’ ancaman pada pengguna Android

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) – Fortinet memberi amaran kepada pengguna di Malaysia bahawa “Stagefright” yang mudah menyerang dan ditemui dalam sistem operasi Android, membolehkan penggodam memperoleh akses kepada peranti mudah alih dengan hanya menggunakan mesej multimedia tunggal (MMS).

Dalam satu kenyataan, Fortinet berkata “Stagefright” disifatkan sebagai ancaman paling kritikal yang ditemui dalam Android setakat ini.

“Ia membolehkan telefon digodam dengan hanya satu MMS berniat jahat.

“Paling mengejutkan ialah mangsa tidak perlu membuka mesej atau pun menonton video untuk mengaktifkan.

“Stagefright” boleh menyerang sebarang telefon pintar, tablet atau peranti yang menggunakan Android 2.2 atau lebih tinggi,” kata Penyelidik Keselamatan Makmal FortiGuard Fortinet, Ruchna Nigam.

Beliau berkata ini meletakkan 95 peratus peranti Android terdedah kepada risiko “dirampas” dan kedudukannya yang mudah terdedah kepada ancaman dianggap serius memandangkan ia boleh dieksploitasi tanpa sebarang interaksi pengguna.

“Penyerang hanya perlukan nombor telefon mangsa untuk mengaktifkan ‘Stagefright’,” kata Nigam. Beliau berkata ia turut menjejaskan Mozilla Firefox – yang menggunakan perpustakaan yang sama atas semua platform kecuali Linux. Ia sudah dimuatkan dalam Firefox versi 38, dan pengguna dinasihatkan mengemas kini browser masing-masing.