Stam rancang ...

Stam rancang ‘bunuh’ United

LONDON, 6 Jan – Jaap Stam kembali ke Manchester United, esok ketika pengurus Reading itu merancang untuk menjadi watak ‘pembunuh gergasi’ di pentas Piala FA selepas kelab itu menjualnya kerana bertelagah dengan Alex Ferguson.

Bekas pertahanan Belanda berusia 44 tahun itu yang memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara 1999 sepanjang tiga tahun di United ketika ini menampilkan prestasi baik di arena pengurusan.

Kelab bimbingannya, Reading ketika ini bersaing bagi merebut tempat automatik ke Liga Perdana (PL) Inggeris pada musim depan.

Begitupun, lawannya kali ini iaitu United adalah penyandang juara Piala FA dan tampak sudah serasi dengan pengendalinya, Jose Mourinho selain berhasrat tinggi untuk merekodkan kemenangan ketujuh berturut-turut dalam semua kejohanan.

Stam yang mengakui dirinya berbalah dengan Ferguson sebelum dijual ke Lazio dalam buku autobiografi berkata pertembungan pusingan ketiga itu tidak mempunyai kaitan peribadi.

Stam (kiri) ketika bersama rakannya Roy Keane suatu ketika dulu. – AP
Stam (kiri) ketika bersama rakannya Roy Keane suatu ketika dulu. – AP

“Sudah tentu kami tidak sabar untuk mengharunginya. Ia undian yang hebat, bukan saja untuk saya, namun untuk pemain-pemain juga,” kata Stam di dalam laman sesawang Reading.

“Untuk bermain di Old Trafford di depan 80,000 penonton, menentang pemain-pemain berkualiti di Piala FA adalah kejohanan yang semua orang mahu tampilkan aksi terbaik, trofi yang semua orang mahu menang, ia pasti sesuatu yang menarik.

“Sesuatu yang baik untuk kembali ke Manchester. Saya masih mencintai kelab itu, mencintai peminat-peminatnya, saya memperoleh masa yang hebat di sana dan sesuatu yang baik untuk kembali dengan cara seperti ini.

“Kami tidak berkata yang kami tidak berpeluang. Semua orang mempunyai peluang. Ia bukan saja disebabkan saya, ia adalah mengenai Reading bertemu United di Old Trafford.”

Selain Reading, kelab divisyen dua Preston juga berharap untuk melakukan kejutan apabila menerima kunjungan Arsenal yang ketika ini dipalit masalah selepas bintangnya, Alexis Sanchez enggan untuk bercakap dengan rakan sepasukannya susulan keputusan seri 3-3 kepada Bournemouth minggu ini. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA