Standard Bahasa Inggeris baharu diperkenalkan bagi pelajar luar

SYDNEY, 12 Okt – Mulai tahun depan, pelajar antarabangsa di Australia perlu memenuhi standard Bahasa Inggeris yang baharu, sebagai usaha memastikan pelajar bersedia untuk pendidikan peringkat tinggi, memetik media tempatan lapor agensi berita Xinhua.

Kursus Bahasa Inggeris Intensif Pelajar Luar Negara akan digunakan untuk mengukur pengambilan pelajar ke kursus pengajian tinggi dan keperluan itu meliputi kursus peringkat universiti, vokasional serta latihan.

Menteri Pendidikan dan Latihan Australia, Simon Birmingham memberitahu ABC Radio pada Khamis, langkah itu diperkenalkan susulan terdapat pelajar yang tidak dapat mengambil bahagian dalam aktiviti berkumpulan selain terpaksa bergelut dengan tugasan kertas kerja.

Para pelajar daripada China bergambar ramai bersama keluarga mereka selepas menerima ijazah daripada universiti Sydney pada 12 Oktober 2017. Pelajar antarabangsa di Australia perlu memenuhi standard Bahasa Inggeris yang baharu bagi pendidikkan peringkat tinggi. – AP

Kursus itu, sebahagian daripada program intensif yang merangkumi sekurang-kurangnya 20 jam kelas melibatkan komunikasi secara bersemuka. Pelajar antarabangsa menyumbang sebanyak AU$20 bilion (AS$15.6 bilion) dalam pendapatan eksport Australia pada 2015-2016, lapan peratus lebih tinggi berbanding 12 bulan sebelumnya.

Menurut kumpulan industri Universiti Australia, pendidikan antarabangsa juga menyokong lebih 130,000 pekerjaan di negara itu. – Bernama