Standard Chartered, ADB meterai perjanjian bernilai RM80 juta

Standard Chartered, ADB meterai perjanjian bernilai RM80 juta

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Standard Chartered Bank (M) Bhd dan Asian Development Bank (ADB) memeterai perjanjian pembiayaan rantaian bekalan (SCF) bernilai RM80 juta yang akan memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.

Perjanjian itu merupakan perjanjian SCF pertama ADB di negara ini menerusi sebuah institusi kewangan, kata Standard Chartered dalam satu kenyataan hari ini.

Perjanjian ADB-Standard Chartered itu akan membolehkan PKS mudah mendapat akses kepada modal kerja menerusi program ini, kata bank itu.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Malaysia Mahendra Gursahani berkata perkongsian ini merupakan bukti kekuatan Standard Chartered dalam pembiayaan perdagangan dan komitmennya menghubungkan komuniti peniaga dalam seluruh pasaran utama.

Gursahani berkata Standard Chartered berkedudukan baik untuk membantu PKS merebut peluang perniagaan dan mengembangkan operasi mereka.

“Pembiayaan rantaian bekalan menyediakan kepada PKS modal kerja pada harga berpatutan. Ini membantu mereka berkembang dan memudahkan pembelian bahan mentah bagi pengeluaran barangan yang dijual kepada pelanggan korporat mereka,” katanya.

Beliau berkata ia merupakan kaedah efektif untuk menyokong PKS, segmen pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan, tetapi penting bagi pertumbuhan dan pekerjaan bagi pasaran Malaysia.

Di Malaysia, PKS menyumbang 97 peratus daripada semua perusahaan dan 36 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Pinjaman bank PKS membentuk purata 11.6 peratus daripada KDNK dan 18.7 peratus daripada jumlah berian pinjaman bank di kebanyakan negara membangun Asia dan ini menunjukkan akses yang kurang kepada kredit bank, yang mana merupakan halangan utama kepada kelangsungan hidup dan pertumbuhan PKS,” kata Gursahani. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA