Standard Chartered buang 15 ribu pekerja

Standard Chartered buang 15 ribu pekerja

HONG KONG, 3 Nov (AFP) – Bank Britain yang fokus dengan Asia, Standard Chartered hari ini berkata, ia akan membuang 15,000 pekerja dan mengumpul AS$5.1 bilion dalam modal selepas mencatat kerugian suku ketiga yang ‘mengecewakan’ tatkala ia bergelut untuk mencatat pertumbuhan semula.

Kehilangan pekerjaan itu sebahagian daripada rancangan penyusunan semula yang akan menelan kos sebanyak AS$3 bilion, kata bank itu.

Seorang jurucakap Standard Chartered berkata beliau tidak dapat memberikan butir-butir lanjut mengenai pembuangan pekerja.

Lebih separuh daripada jumlah kos penyusunan semula itu akan datang daripada kerugian berpotensi ke atas pencairan aset dan perniagaan, kata bank dalam satu kenyataan.

Bayaran selebihnya akan datang daripada “kos pekerja lebihan berpotensi” daripada pengurangan jumlah pekerja sebanyak 15,000, serta penurunan nilai aset tidak ketara, tambahnya.

Bank melaporkan kerugian suku sebelum cukai yang tidak dijangka sebanyak AS$139 juta berbanding dengan keuntungan sebanyak AS$1.53 bilion setahun sebelumnya, dalam satu prestasi yang digambarkan sebagai “mengecewakan” oleh ketua eksekutif kumpulan Bill Winters.

Pendapatan merosot 18.4 peratus kepada AS$3.68 bilion dan kerugian kerosakan bertambah daripada $536 juta kepada $1.23 bilion untuk suku itu.

Saham dalam bank merosot sebanyak 6.2 peratus di bursa saham Hong Kong selepas keputusan, nilai sahamnya telah merosot 32 peratus setahun lalu.

“Saya tahu ramai orang kehilangan pekerjaan adalah tidak baik, namun daripada sudut pandangan perniagaan, itulah yang perlu dilakukan oleh mereka,” beritahu penganalisis kewangan di Hong Kong Jackson Wong kepada AFP.