Standard Chartered Securities dilancarkan

Standard Chartered Securities dilancarkan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Bank Standard Chartered (SCB) hari ini melancarkan anak syarikat pelaburannya, Standard Chartered Securities (B) Sdn Bhd, yang merupakan satu lagi detik bersejarah bagi SCB yang telah berada di negara ini selama lebih 58 tahun.

Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman bersama Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Standard Chartered Securities, Rino Donosepoetro dan Pengarah Urusan Standard Chartered Securities, Brenda Low. Turut hadir pegawai-pegawai kanan dan pengurusan dari Unit Pengawasan Perbankan dan Pemasaran Modal AMBD serta pasukan pengurusan kanan dari SCB.

Rino Donosepoetro dalam ucapannya berkata, pelancaran Standard Chartered Securities adalah selaras dengan sokongan sebagai salah satu platform terhadap penubuhan Bursa Saham pada tahun depan dan penyertaan mereka di dalam aktiviti-aktiviti pasaran modal.

Pelancaran itu juga mengukuhkan lagi hakikat bahawa Brunei terus menjadi pasaran penting bagi SCB serta mempunyai potensi pertumbuhan yang meyakinkan.

Sementara itu, Brenda Low pula berkata, SCB secara berterusan menumpukan kepada pengurusan kekayaan dan pelaburan bagi pelanggannya, membantu mereka membina dan melindungi kekayaan mereka sehingga hari ini.

Awang Yusof (tengah) bersama Rino Donosepoetro dan Brenda Low melancarkan Standard Chartered Securities (B) Sdn Bhd kelmarin.
Awang Yusof (tengah) bersama Rino Donosepoetro dan Brenda Low melancarkan Standard Chartered Securities (B) Sdn Bhd kelmarin.

“Standard Chartered Bank sentiasa berada di hadapan dalam pengurusan kekayaan di pasaran serta mempunyai rangkaian produk paling meluas yang ditawarkan.

“Selain itu SCB juga menawarkan keupayaan teknikal dengan pasukan perancang kewangan berlesen dan bertauliah yang disokong oleh pakar pelaburan tempatan dan serantau serta ahli-ahli ekonomi, sekali gus berupaya menawarkan penyelesaian pelaburan sepenuhnya untuk memenuhi keperluan kewangan pelanggannya.”

Menurut Brenda Low lagi, Standard Chartered Securities yang ditubuhkan pada 4 Jun lalu, merupakan anak syarikat milik penuh SCB. Ia menawarkan perkhidmatan nasihat pelaburan dan pengurusan portfolio menerusi sebuah pasukan Perancang Kewangan bertauliah dan Kaunselor Pelaburan berlesen serta Pengurus-pengurus Perhubungan yang mematuhi Perintah Pasaran Sekuriti.

Tambah beliau, Standard Chartered Securities kini menawarkan lebih 100 jenis Saham Amanah dan lebih 50 jenis Bon di samping Nota-note Berstruktur biasa.

SCB juga akan terus menawarkan produk-produk Pelaburan Matawang Premium dan Deposit Berstruktur.