Standard kebersihan lebih tinggi

Standard kebersihan lebih tinggi

BONN, Jerman, 20 Sept (dpa) – Kemajuan tidak menunggu sesiapa dan ia termasuk bilik mandi. Pengeluar tandas Eropah sedang membawa ciri-ciri elektronik moden kepada mangkuk tandas termasuk muzik, lampu dan pembersihan peribadi dengan air.

“Tandas telahpun berkembang dalam tempoh beberapa tahun lalu dan sekarang kami melihat peningkatan besar dalam kemajuan,” kata Henning Senger daripada Aqua Cultura, persatuan pemasang bilik mandi Jerman.

Satu reka bentuk yang semakin banyak dilihat dalam jenama porselin Jerman yang dieksport ke seluruh dunia adalah “tandas pancuran,” seperti Vileroy & Boch’s ViClean, yang menggabungkan ciri-ciri bidet ke dalam WC.

“Ia jauh lebih bersih,” kata Jens J Wischmann daripada Persatuan Industri Kebersihan Jerman.

Arah, kekuatan dan suhu air dan pengering boleh diubah mengikut cita rasa dan keperluan.

Teknologi moden itu dipelopori oleh pengeluar Jepun, dan Eropah, pada mulanya perlahan untuk mengeluarkan ciri-ciri yang diminta oleh kebanyakan negara Asia dan negara dengan budaya Islam, kini berminat untuk menggabungkannya ke dalam reka bentuk mereka sendiri.

“Anda boleh menukar ciri-ciri berkenaan dengan alat kawalan jauh,” kata Senger.

“Terdapat model dengan fungsi lampu malam LED yang diaktifkan dengan pergerakan,” tambah beliau. Variasi lain termasuk tempat duduk panas dan tudung yang dibuka dan ditutup sendiri.

“Malah terdapat tandas dengan fungsi memori,” kata Senger. Tandas berkenaan ingat pilihan pengguna individu, termasuk muzik kegemaran mereka, dan menyalurkannya kepada mereka.

“Ia kelihatan agak pelik, namun perkara seperti ini tidak semestinya mewah,” katanya.

“Tandas pancuran juga membolehkan orang tua yang tidak dapat bergerak dengan senang untuk menikmati standard kebersihan yang tinggi.”

Pereka Jerman juga berminat untuk menjadikan tandas lebih menyenangkan kepada pandangan mata.