Stange bakal tinggalkan Singapura

Stange bakal tinggalkan Singapura

SINGAPURA, 24 Mac (AFP) – Pengendali skuad bola sepak kebangsaan Singapura, Bernd Stange (gambar) mengesahkan dia akan meletakkan jawatan selepas beberapa persembahan buruk yang menyaksikan ranking dunia negara itu jatuh ke tangga ke-148.

Pengendali Jerman berusia 68 tahun itu berkata, tugasannya dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Afghanistan minggu depan akan menjadi perlawanan terakhirnya, lapor akhbar tempatan negara itu sebentar tadi.

Stange dibawa masuk oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) pada 2013 untuk menggantikan Raddy Avramovic yang melepaskan jawatan selepas membantu Singapura menyambar tiga trofi Piala Suzuki AFF bermula 2004, 2007 dan 2012.

“Seperti yang anda ketahui sekarang ini saya sudah memberitahu kepada FAS pada Januari lalu supaya tidak membuat sebarang perancangan untuk saya lagi selepas perlawanan dengan Afghanistan,” kata Stange kepada pemberita menjelang pertemuan persahabatan dengan Myanmar hari ini.

Skuad Lion akan terbang ke Tehran untuk aksi berdepan Afghanistan pada Selasa ini.

pg21_160325_c

FAS memberitahu AFP bahawa ia akan mengumumkan keputusan masa depan jurulatih kebangsaan hanya pada bulan April.

“Jurulatih Bernd dan pasukan teknikal beliau kini memberi tumpuan kepada persiapan pasukan kebangsaan untuk Piala Dunia 2018 / Piala Asia 2019 dalam perlawanan kelayakan yang akan datang menentang Afghanistan,” katanya.

Selepas pelantikannya, Stange terus dikritik kerana didakwa memihak pemain muda dan memaksa pasukan muda Asia Tenggara yang mengamalkan corak permainan hantaran pantas untuk kesan yang terhad.

Singapura tersingkir di peringkat kumpulan apabila ia menjadi tuan rumah Piala AFF Suzuki pada 2014.

Prestasi pasukan dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia juga telah mendapat perhatian, memperolehi 10 mata daripada jumlah maksimum 21.

ARTIKEL YANG SAMA