Star Madang mara ke separuh akhir

Star Madang mara ke separuh akhir

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Star Madang mara ke separuh akhir menerusi kemenangan 4-2 ke atas MBS United SC dalam perlawanan suku akhir pertama malam tadi, sekali gus mengesahkan MBS United sebagai pasukan kelima menyertai Liga Perdana BFL 2016.

Majoriti gol Star Madang dijaringkan oleh Awangku Abdul Rahman, maka tiada bezanya pada suku akhir ini apabila dia mencetak hatrik bermula dengan jaringan pembukaan pada minit keenam.

Pendahuluan 1-0 Star Madang itu hanya bertahan dua minit apabila Mohd Farid berjaya membolosi gawang Star Madang pada minit kelapan untuk berkongsi kedudukan 1-1.

Minit ke-12 menyaksikan giliran MBS United pula menerajui perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu menerusi jaringan Mohd Solehin untuk kedudukan 2-1.

Awangku Abdul Rahman tidak menghampakan harapan Star Madang apabila berjaya menyamakan kedudukan 2-2, dengan gol kedua peribadinya pada minit ke-14.

Awangku Abdul Rahman meledakkan hatriknya pada minit ke-36 dalam kemenangan 4-2 Star Madang (kuning) ke atas MBS United.
Awangku Abdul Rahman meledakkan hatriknya pada minit ke-36 dalam kemenangan 4-2 Star Madang (kuning) ke atas MBS United.

Star Madang merampas semula pendahuluan selepas Awangku Abdul Rahim meledakkan gol ketiga pasukannya untuk Star Madang mendahului 3-2 pada ketika separuh masa pertama hanya berbaki empat minit.

Separuh masa kedua menyaksikan Star Madang lebih banyak bertahan daripada mengambil risiko melakukan serangan dalam usahanya mempertahankan pendahuluan.

Taktik itu mengundang padah apabila ia menyebabkannya melakukan enam kesalahan terkumpul dan sepakan penalti 10 meter kepada pihak lawan, namun penjaga gol Star Madang bertindak cemerlang menyelamatkan gawangnya.

Kegagalan menyempurnakan sepakan penalti itu pasti menghantui MBS United apabila dua minit kemudian Awangku Abdul Rahman memberikan hukuman dengan ledakan hatrik untuk gol keempat Star Madang pada minit ke-36.

MBS United sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-38, ditambah lagi dengan layangan kad kuning kedua dan merah kepada pemain Star Madang, namun penjaga gol Star Madang sekali lagi menjadi wira pasukannya dengan penyelamatan hebat.

Walaupun terpaksa bermain kurang seorang dalam tempoh dua minit, Star Madang berjaya menghalang MBS United daripada mendapatkan gol sehinggalah pengadil meniup wisel penamat.

ARTIKEL YANG SAMA