Star Madang patahkan sayap Eagle Blues

Star Madang patahkan sayap Eagle Blues

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Star Madang membuktikan kehebatannya apabila menjadi pasukan pertama mengumpul sembilan mata setelah menewaskan lawan ketiganya dalam Kumpulan C Futsal Piala Perdana TelBru, Eagle Blues, dengan jaringan 4-1.

Star Madang menang 5-1 ke atas Liverpool Supporters Club Brunei (LSCB) pada 16 Ogos, diikuti dengan kemenangan 5-0 ke atas Kilugos FC pada 19 Ogos.

Pada perlawanan di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu Star Madang selesa mendahului 4-0 sehinggalah ke penghujung perlawanan sebelum Eagle Blues mendapat gol sagu hati.

Gol pertama Star Madang hadir pada minit ke-10 hasil jaringan Mohd Sufri, disusuli gol Awangku Abdul Rahman pada minit ke-14. Kedudukan 2-0 kekal sehingga babak pertama berakhir.

Pada babak kedua, Star Madang terus mengawal perlawanan dan tidak perlu menunggu lama untuk menambah gol ketiga apabila Awangku Abdul Radzuan menjaringkan gol lima minit selepas rehat.

Persaingan pemain Star Madang (merah) dengan Eagle Blues dalam aksi Piala Futsal Perdana semalam.
Persaingan pemain Star Madang (merah) dengan Eagle Blues dalam aksi Piala Futsal Perdana semalam.

Star Madang semakin selesa mendahului apabila Awangku Abdul Rahman menyumbat gol kedua peribadi dan keempat pasukannya pada minit ke-28.

Ketika perlawanan dilihat akan berakhir pada kedudukan 4-0, Mohd Nor Hamzeha memanfaatkan kelekaan pertahanan Star Madang untuk membolosi lawan pada minit ke-39 untuk gol sagu hati Eagle Blues musim ini.

Selepas tewas dua kali berturut-turut, Eagle Blues mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan walaupun bermula cemerlang dengan kemenangan 5-0 ke atas Kilugos FC pada perlawanan pertama.

Tewas tipis 2-3 kepada LSCB pada 19 Ogos menjadi petanda berakhirnya peluang kemaraan Eagle Blues ke pusingan kalah mati, melainkan berjaya menewaskan Star Madang atau Kilugos FC mengejutkan LSCB pada perlawanan terakhir kumpulan, yang ternyata tidak menjadi kenyataan.

Star Madang kini sudah mengesahkan penyertaannya dalam Liga Futsal Brunei (BFL) 2016 setelah layak secara otomatik ke peringkat suku akhir selaku juara kumpulan. Hanya kejayaan mara ke final nanti akan melayakkannya bermain dalam Liga Super tetapi jika gagal, ia akan bersaing dalam Liga Perdana.

ARTIKEL YANG SAMA