Star Madang pertama mara ke final

Star Madang pertama mara ke final

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Star Madang menjadi pasukan pertama layak ke final Futsal Piala Perdana TelBru 2015 walau hampir retak di bawah tekanan lawannya empat minit sebelum perlawanan tamat sebelum mampu menarik nafas lega menang tipis 3-2.

Perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu sekadar berakhir 1-0 memihak Star Madang ketika pengadil meniupkan wisel penamat separuh masa pertama.

Itu pun hanya hadir seminit sebelum tiupan wisel berkenaan menerusi jaringan Mohd Sufri.

Namun pada perlawanan separuh akhir pertama malam berkenaan, Star Madang segera menggandakan pendahuluannya dua minit selepas rehat yang turut disumbangkan oleh Mohd Sufri.

Kedua-dua pasukan berterusan gagal mendapatkan jaringan untuk tempoh yang lama sehinggalah minit ke-37 hadir, yang muncul menjadi minit emas perlawanan berkat tiga jaringan terhasil di dalamnya bermula dengan jaringan Md Hassanal untuk Star Madang mendahului 3-0.

Mohd Sufri (tiga, kiri) menjaringkan dua gol yang membantu Star Madang menewaskan 1st Five FT (hitam) 3-2 sekali gus mara ke pusingan akhir Futsal Piala Perdana TelBru 2015.
Mohd Sufri (tiga, kiri) menjaringkan dua gol yang membantu Star Madang menewaskan 1st Five FT (hitam) 3-2 sekali gus mara ke pusingan akhir Futsal Piala Perdana TelBru 2015.

Mohd Adree kemudiannya menggegar keyakinan Star Madang dengan penghasilan dua gol pada minit ke-37 berkenaan, dengan pantas merubah kedudukan menjadi 3-2.

Keadaan itu sekali gus membakar semangat rakan-rakannya untuk sekurang-kurangnya memaksa perlawanan ke masa tambahan dengan jaringan penyamaan, yang ternyata tidak kunjung tiba.

Kini Star Madang hanya perlu menunggu keputusan perlawanan separuh akhir kedua yang membabitkan dua pasukan dari Kumpulan B iaitu Creativol dengan BIO FT, sebelum mengetahui siapa lawannya pada perlawanan akhir yang dijadualkan pada 26 September nanti.