Star Madang ungguli kumpulan

Star Madang ungguli kumpulan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Star Madang unggul dalam Kumpulan C Futsal Piala Perdana TelBru 2015 apabila mencatat kemenangan keduanya malam tadi iaitu 5-0 ke atas Kilugos FC.

Awangku Abdul Rahman mencetak empat gol pertama Star Madang dengan tiga daripadanya hadir pada separuh masa pertama iaitu pada minit keempat, kelapan dan ke-19 untuk Star Madang menerajui permainan 3-0 sehingga rehat.

Empat minit selepas rehat dalam perlawanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu Awangku Abdul Rahman sekali lagi menemui sentuhan jaringannya untuk melakar kedudukan 4-0 buat Star Madang.

Kedudukan menjadi lebih selesa buat Star Madang apabila Md Syazawi turut mencatatkan namanya dalam senarai penjaring pada minit ke-28, yang ternyata menjadi gol terakhir perlawanan pada kedudukan 5-0. Star Madang kini di puncak Kumpulan C dengan enam mata selepas turut menang perlawanan pertamanya pada 16 Ogos lalu, 5-1 ke atas Liverpool Supporters Club Brunei (LSCB).

Sebaliknya ia merupakan kekalahan kedua Kilugos FC selepas tewas perlawanan pertamanya juga dengan jaringan 0-5, kepada Eagle Blues. – Hasrulraizan

Star Madang (merah) mengalahkan Kilugos FC (kuning) 5-0 dalam aksi Kumpulan C semalam.

Star Madang (merah) mengalahkan Kilugos FC (kuning) 5-0 dalam aksi Kumpulan C semalam.

ARTIKEL YANG SAMA