Statistik kes jenayah menurun

Statistik kes jenayah menurun

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 15 Feb – Keterlibatan ahli-ahli pengawasan kejiranan membantu pihak polis dalam sama-sama membanteras jenayah telah menampakkan impak yang positif apabila statistik kes-kes jenayah pada tahun lalu menurun berbanding tahun sebelumnya.

Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait, Supt. Ariffin bin Haji Jafaruddin menjelaskan, pada suku pertama tahun 2015, sebanyak 110 laporan kes-kes yang melibatkan kesalahan harta benda diterima berbanding 118 kes pada suku tahun pertama 2014.

Begitu juga dengan kesalahan terhadap tubuh badan sebanyak 17 kes berbanding 23 kes tahun sebelumnya, manakala pada suku tahun kedua 2015 sejumlah 140 kes kesalahan terhadap harta benda dilaporkan berbanding 144 pada tahun 2014.

Beliau mengongsikan perkara ini semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Belait Bersama Penghulu-penghulu Mukim, Ketua-ketua Kampung, Ketua-ketua Rumah Panjang Daerah Belait bagi Suku Tahun ke-4 2015 berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Belait Panaga di sini, hari ini.

Supt. Ariffin ketika menyampaikan ucapan dan berkongsi statistik kes jenayah pada majlis itu.
Supt. Ariffin ketika menyampaikan ucapan dan berkongsi statistik kes jenayah pada majlis itu.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama ahli MMN, para penghulu mukim dan ketua kampung di Daerah Belait.
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama ahli MMN, para penghulu mukim dan ketua kampung di Daerah Belait.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman.

Bagaimanapun, tambah Supt. Ariffin lagi, dalam kesalahan terhadap tubuh badan pula mencatatkan peningkatan kepada enam kes, iaitu sejumlah 30 kes dilaporkan berbanding 24 kes pada suku tahun kedua 2014.

Manakala itu, penurunan juga dicatatkan bagi kes kesalahan harta benda pada suku tahun ketiga 2015 iaitu sebanyak 131 kes dilaporkan berbanding 177 kes pada suku tahun ketiga 2014, penurunan sejumlah 46 kes, dan kesalahan terhadap tubuh badan juga mencatatkan penurunan kepada 17 kes yang dilaporkan pada tahun 2015 berbanding 24 kes pada suku tahun ketiga tahun 2014.

Beliau menambah, dilihat daripada statistik tersebut secara keseluruhan menampakkan bahawa kes-kes jenayah terhadap harta benda telah menurun berbanding tahun 2014 terutamanya sepanjang bulan Julai hingga September 2015, begitu juga kesalahan terhadap tubuh badan.

Sehubungan itu, tambahnya, sokongan ahli-ahli pengawasan kejiranan amat diperlukan bagi memastikan keamanan di daerah ini terus dikekalkan, dan menekankan bahawa penglibatan ahli-ahli pengawasan kejiranan yang mewakili komuniti tempatan dan masyarakat merupakan satu contoh baik kepada usaha pencegahan jenayah secara berpasukan.

Beliau juga menyatakan harapan agar sokongan padu melalui para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta Jabatan Daerah akan terus menyuburkan semangat pengawasan kejiranan antara masyarakat setempat bagi mengekalkan keamanan dan membanteras aktiviti jenayah yang berlaku di kawasan masing-masing.

Turut hadir semasa majlis itu ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) Daerah Belait, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad dan Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin.

Majlis perjumpaan itu antara lain bertujuan untuk menerangkan kadar statistik kes-kes jenayah dan kemalangan lalu lintas yang berlaku di kawasan Daerah Belait pada tahun 2015, serta membincangkan aktiviti pencegahan jenayah gandingan pasukan polis bersama ahli-ahli pengawasan kejiranan yang sudah dilaksanakan pada tahun 2015 serta membincangkan aktiviti yang boleh dirancang dan akan dijalankan seterusnya pada tahun ini.

Majlis turut mendengarkan taklimat daripada pegawai penguasa balai-balai polis Daerah Belait.

ARTIKEL YANG SAMA