Status di laman sosial undang padah

Status di laman sosial undang padah

KUALA LUMPUR, 19 Julai – Linda (bukan nama sebenar) memuat naik status di laman sosial Facebook dengan memaklumkan dirinya dan keluarga akan bercuti selama seminggu ke luar negara.

Sambil mengungkapkan kata-kata tidak sabar menikmati percutian bersama suami serta anak-anak, dia sempat memasukkan maklumat lokasi rumahnya dan dengan riang membalas komen rakan-rakan yang bertanya perihal percutian itu antaranya tempat, bila dan sebagainya.

Setelah menghabiskan percutian di London, Linda dan keluarga pulang ke tanah air dan terkejut apabila mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak dan barangan berharga hilang akibat dipecah masuk perompak.

Satu laporan polis dibuat dan Linda mengakui ia ada kaitan dengan sikapnya yang gemar mendedahkan kehidupan peribadi hingga akhirnya memakan diri.

Peningkatan kes seumpama itu jugalah yang mungkin sebelum ini mendorong Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan kenyataan bahawa laman sosial tidak boleh dianggap sebagai diari peribadi.

Tidak semua rakan-rakan di laman sosial dikenali secara rapat, justeru mereka mungkin memanipulasi maklumat yang kita kongsi dan mengundang kepada niat jahat.
Tidak semua rakan-rakan di laman sosial dikenali secara rapat, justeru mereka mungkin memanipulasi maklumat yang kita kongsi dan mengundang kepada niat jahat.

Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Perancangan Jangkauan SKMM Nur Halili Nadia Mustapha Kamal berkata maklumat peribadi tidak harus dikongsi sewenang-wenangnya.

“Kita tak kenal kawan-kawan di laman sosial yang mungkin memanipulasi maklumat yang kita kongsi dan mengundang kepada niat jahat,” katanya sambil menasihatkan pengguna laman sosial supaya berfikir secara bijak sebelum berkongsi atau memuat naik sesuatu bahan.

Dari satu sudut lain, Syafiq (bukan nama sebenar) pula berkata status mengundang padah bukan terhad kepada berkongsi kehidupan peribadi dan lokasi sahaja, kerana pendapat dan pandangan peribadi yang dilontarkan juga ada kalanya boleh memudaratkan diri.

Syafiq yang aktif memuat naik status berunsurkan politik, mengakui pernah beberapa kali ‘bertegang urat’ di alam maya dengan teman-teman yang berselisih pendapat dengannya.

“Saya akui akibat menurut kata hati, saya gunakan laman sosial sebagai melepas perasaan marah dan akhirnya memutuskan tali persahabatan,” katanya.

Beliau berpandangan status yang dimuat naik pada masa kini banyak yang terpalit dengan emosi sehingga alam maya menjadi medan pergaduhan, meluahkan rasa tidak puas hati, menghentam pihak lain atau organisasi dan sebagainya.

Pihak yang membacanya mungkin melihat ini sebagai cermin kepada peribadi seseorang, tambahnya. – Bernama