Stefano Sturaro selamatkan Juventus

Stefano Sturaro selamatkan Juventus

TURIN, 24 Feb (AFP) – Pemain gantian, Stefano Sturaro, menyelamatkan Juventus apabila menjaringkan gol penyamaan bagi mengikat Bayern Munich 2-2 dalam aksi pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara, semalam.

Bayern berjaya mendominasi perlawanan di Stadium Juventus itu dan membuka tirai jaringan menerusi Thomas Mueller pada minit ke-43.

Arjen Robben meledak gol kedua buat kelab gergasi Jerman itu pada minit ke-55, tetapi juara 2013 itu terpaksa membayar harga tinggi atas deretan peluang yang disia-siakan apabila Paulo Dybala merapatkan jurang buat Juventus hasil jaringannya pada minit ke-63.

Sturaro yang masuk menggantikan Sami Khedira pada minit ke-69 muncul wira Juventus apabila menyelamatkan maruah tuan rumah dengan menjaringkan gol penyamaan ketika perlawanan berbaki 14 minit lagi.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang untuk layak ke suku akhir biarpun Bayern yang dibimbing Pep Guardiola diletakkan sebagai pilihan untuk mara ke kelompok lapan terbaik menjelang aksi kedua tiga minggu lagi.

Stefano Sturaro (kiri) menendang bola untuk menjaringkan gol di sebelah midfield Bayern Joshua Kimmich dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Juventus, semalam. – AFP
Stefano Sturaro (kiri) menendang bola untuk menjaringkan gol di sebelah midfield Bayern Joshua Kimmich dalam aksi Liga Juara-Juara di Stadium Juventus, semalam. – AFP

“Juventus yang berjaya mara ke final tahun lalu, bukannya kami. Kami bukannya berdepan pasukan dari wilayah. Saya gembira dengan corak permainan kami, ia satu perlawanan sepanjang kerjaya saya yang paling saya akan ingati,” kata Guardiola.

Sementara itu, jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, mengakui anak buahnya melakukan banyak kesilapan dalam perlawanan itu terutama di babak pertama.

“Pada babak pertama, mereka memberi tekanan di kawasan kami dan kami tidak boleh mengatasinya. Kami mula melakukan banyak kesilapan daripada hantaran dan tidak menggunakan ruang yang ada sebaiknya.

“Namun, kita tidak boleh lupa yang kami menentang Bayern. Selepas ketinggalan, kami bermain dengan lebih baik, malah mampu untuk mencatat kemenangan. Kami perlu pastikan kesilapan sama tidak berulang untuk aksi kedua nanti,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA