STEM dan Inovatif Reka Bentuk penggerak transformasi negara

STEM dan Inovatif Reka Bentuk penggerak transformasi negara

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Pelaksanaan inisiatif STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan Inovatif Reka Bentuk di sekolah merupakan titik tolak ke arah mewujudkan masyarakat berliterasi STEM serta yang mampu memahami sekurang-kurangnya konsep asas STEM dan mengaplikasikan pengetahuan itu bagi memahami dunia sekeliling.

“Selain itu akan membantu masyarakat kita untuk menggunakan teknologi terkini serta prinsip matematik dan saintifik dalam kehidupan seharian, terutamanya untuk berkomunikasi, mempermudahkan urusan dan menyelesaikan masalah.”

Dalam hubungan itu, program inisiatif STEM dan Inovatif Reka Bentuk merupakan landasan terbaik untuk menjadi penggerak transformasi negara, jelas Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman ketika berucap pada Penyampaian Hadiah Cabaran STEM dan Inovasi Reka Bentuk Peringkat Kebangsaan ke-2 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Universiti Teknologi Brunei, hari ini.

“Saya percaya melalui program ini kita berupaya menghasilkan prototaip sendiri hasil inovasi tempatan yang akan membanggakan kita dan boleh mewujudkan idea untuk mengembang majukan ekonomi negara ini.

“Ini akan berlaku jika pembudayaan inovasi dan kreativiti dapat dilaksanakan secara terancang dan berterusan agar kesannya adalah berpanjangan dan efektif,” kata Yang Berhormat Pehin lagi.

Yang Berhormat Pehin berkata inisiatif STEM dan Inovatif Reka Bentuk di sekolah merupakan titik tolak ke arah mewujudkan masyarakat berliterasi STEM.
Yang Berhormat Pehin berkata inisiatif STEM dan Inovatif Reka Bentuk di sekolah merupakan titik tolak ke arah mewujudkan masyarakat berliterasi STEM.

Beliau turut memetik laporan Global Competitiveness 2013-2014 yang telah meletakkan Brunei sebagai negara ke-26 paling berdaya saing dalam kalangan 148 buah negara iaitu meningkat dua kedudukan dari tahun sebelumnya.

“Pencapaian baik itu harus meyakinkan kita bahawa kita mampu memantapkan pencapaian dan kedudukan negara dalam Global Innovation Index tersebut dan akan mengulangi kejayaan itu lagi.”

Yang Berhormat Pehin berkata, bagi mencapai hasrat itu, kementeriannya selaku perancang dan pelaksana pendidikan, mesti memastikan penyediaan pendidikan yang berterusan dan latihan kerja praktikal serta latihan semula kemahiran kepada para pelajar.

Usaha itu, ulasnya, adalah untuk memanfaatkan sepenuhnya keupayaan mereka dan supaya mereka tahu landasan betul untuk mengembangkan ilmu dan teknologi yang dipelajari itu.

“Oleh sebab itu, penganjuran pertandingan seumpama ini perlu sentiasa diadakan dan dipertingkatkan penyertaannya.

“Seterusnya pertandingan seperti ini hendaklah dari semasa ke semasa dinilai keberkesanannya agar manfaatnya dapat dicapai secara maksimum.”

ARTIKEL YANG SAMA