Stenson fokus buru kejuaraan

Stenson fokus buru kejuaraan

TROON, United Kingdom, 17 Julai – Henrik Stenson mengakui terdesak untuk ‘menyelesaikan kerja’ apabila dia mendahului dengan satu pukulan menjelang pusingan terakhir golf Terbuka Britain di Royal Troon.

Pemain Sweden berumur 40 tahun itu tidak pernah memenangi sebarang kejohanan utama sepanjang kariernya biarpun beberapa kali hampir menang.

Begitupun, dia meletakkan dirinya sebagai pemain pilihan untuk menjulang kejuaraan apabila melakukan 68 dalam permainan pusingan tiga yang berlangsung dalam keadaan angin kencang, semalam.

Ini meletakkannya mencatat keseluruhan 12 bawah par 201, sekali gus mengatasi bintang Amerika Syarikat, Phil Mickelson yang melakukan 70, semalam untuk keseluruhan 11 bawah par.

“Saya tidak sabar dengan peluang yang diperoleh ini. Saya berusaha keras dalam tiga hari pertama ini untuk meletakkan saya dalam situasi ini dan sekali lagi saya akan cuba melakukan sedaya upaya esok (awal pagi Isnin) untuk selesaikan kerja ini,” kata Stenson.

Stenson meletakkan dirinya sebagai pemain pilihan untuk menjulang kejuaraan apabila melakukan 68 dalam permainan pusingan tiga yang berlangsung dalam keadaan angin kencang, semalam. - AP
Stenson meletakkan dirinya sebagai pemain pilihan untuk menjulang kejuaraan apabila melakukan 68 dalam permainan pusingan tiga yang berlangsung dalam keadaan angin kencang, semalam. – AP

Mickelson sebelum ini berjaya mengungguli dua pusingan awal dan kejayaannya memenangi Claret Jug pada edisi terdahulu meletakkannya berada dalam situasi kurang tekanan.

Stenson dalam pada itu terpaksa menerima hakikat yang dia tidak boleh membiarkan fikirannya mengganggunya yang kejayaan masih belum dicapai.

“Ya, berfikir mengenai keputusan selalunya tidak membantu anda. Saya tahu apa yang saya mahu saksikan esok.

“Tidak timbul persoalan mengenai itu,” kata pemain Sweden itu yang menduduki tempat kedua di Muirfield pada 2013 dan menamatkan saingan di tempat ketiga di Terbuka Britain pada 2008 dan sekali lagi pada 2010.

“Tetapi saya sudah pun berada di tempat kedua dan dua kali di tempat ketiga di Terbuka Britain, jadi bukanlah saya mahu untuk terus berada di situ. Satu-satunya perkara yang penting adalah esok.

“Saya tahu dia (Mickelson) tidak akan menyerah dan saya juga pasti tidak akan cuba untuk menyerah. Jadi ia bakal menjadi permainan yang menarik. Dia adalah salah seorang pemain terbaik sejak 15 ke 20 tahun lalu dan pastinya ia bakal menjadi perlawanan sukar,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA