Stenson rangkul kejuaraan Terbuka British

Stenson rangkul kejuaraan Terbuka British

TROON, Scotland, 18 Julai – Pemain Sweden, Henrik Stenson merangkul kejuaraan major pertama dalam kerjayanya, apabila memenangi saingan golf Terbuka British di sini, sebentar tadi. Dia yang juga pemain keenam dunia, merakamkan lapan di bawah par 63 untuk catatan keseluruhan 20 di bawah par 264, bagi mengatasi Phil Mickelson dengan tiga pukulan.

Catatan keseluruhan pemain berusia 40 tahun ini adalah rekod baharu bagi kejohanan major tertua itu.

Stenson berkata dia dapat merasakan bakal memenangi kejuaraan utama pertamanya selepas melihat Phil Mickelson tercicir pukulan dalam saingan mendebarkan di final Terbuka Britain, awal pagi tadi.

“Ia bukanlah sesuatu yang anda mahu pergi berlari dan menjerit memberitahu, tapi saya dapat rasakan ia adalah giliran saya,” kata pemain Sweden itu.

Dia mencatatkan rekod di Terbuka Britain yang berlangsung Royal Troon dengan catatan keseluruhan 20 bawah par, sekali gus memberinya kelebihan tiga pukulan di depan Mickelson.

Stenson menjulang trofi selepas memenangi Kejohanan Golf Terbuka British di Kelab Golf Royal Troon di Troon, Scotland, semalam. – AP
Stenson menjulang trofi selepas memenangi Kejohanan Golf Terbuka British di Kelab Golf Royal Troon di Troon, Scotland, semalam. – AP

“Saya tahu saya perlu kembali bertarung jika mahu menang, tapi saya rasa ia adalah keyakinan diri sendiri yang memberi saya kelebihan untuk melakukan yang terbaik minggu ini,” katanya.

Stenson memulakan pusingan terakhir, semalam dengan 12 bawah par, satu pukulan di depan Mickelson tetapi dia kemudian ketinggalan satu pukulan pada lubang pertama.

Bagaimanapun dia kembali bersaing dengan catatan mengagumkan 10 birdie bagi mencatat rekod kejohanan utama – menyamai pusingan terendah 63 bagi memastikan kejayaan penuh bergaya.

Mickelson juga merakam 63 dalam pusingan pembukaan pada Khamis lalu.

“Saya sangat berbangga dengan cara saya bermain. Ia adalah perlawanan yang hebat dengan Phil. Ia seperti perlumbaan dua kuda dan sehingga ke akhirnya,” kata Stenson. “Saya tahu dia tidak akan mengundur di mana-mana peringkat dan dalam masa yang sama ia memudahkan bagi saya.” – AFP