Sterling kecewakan Liverpool

Sterling kecewakan Liverpool

MANCHESTER, 21 Julai – Bintang muda England, Raheem Sterling mengakui, dia kesal kerana telah mengecewakan penyokong Liverpool apabila memilih untuk menyertai Manchester City, namun dia tidak pernah berpura-pura sakit ketika gagal menghadirkan diri pada hari-hari terakhir latihan bersama Reds.

“Saya tidak mahu melihat lebih ramai penyokong Liverpool membenci saya. Memang saya kesal kerana telah mengecewakan mereka, tetapi saya tidak pernah menipu tentang kesihatan saya ketika tidak hadir dalam dua sesi latihan,” kata Sterling.

Pemain sayap berusia 20 tahun itu sudah pun menimbulkan kemarahan penyokong Liverpool apabila menolak tawaran penyambungan kontrak bernilai 100,000 pound seminggu.

Dia kemudian dituduh berbohong tentang kesihatannya dan tidak hadirkan diri dalam dua daripada tiga sesi latihan terakhir Liverpool, sebelum menyertai City dengan yuran perpindahan termahal Britain, 49 juta pound.

“Saya tidak mahu kedengaran seperti orang yang tidak tahu bersyukur. Mereka (penyokong Liverpool) sangat hebat dan sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada saya.

Sterling dalam satu latihan bersama pasukan barunya Manchester City. - AFP
Sterling dalam satu latihan bersama pasukan barunya Manchester City. – AFP

“Saya kecewa kerana dibenci atas sebab yang salah. Namun, saya sentiasa mengingatkan diri saya bahawa apa yang penting sekarang adalah memberi tumpuan terhadap bola sepak.

“Mulai sekarang, saya mahu merendah diri. Saya hanya mahu meningkatkan karier bola sepak saya dan mengorak langkah untuk tujuan yang betul, iaitu masa depan saya,” katanya lagi.

Sterling dan ejennya, Aidy Ward menjadi mangsa kritikan selepas bertindak meninggalkan Anfield setelah lima tahun bersama kelab Merseyside itu.

Sebaik saja melaporkan diri dalam sesi latihan pertama pasukan selepas kembali daripada bercuti panjang, Sterling memberitahu pengurus pasukan, Brendan Rodgers dia enggan menyertai jelajah pramusim kelab di Asia Tenggara dan Australia.

Dia kemudian menaikkan lagi kemarahan penyokong Reds apabila tidak hadir pada hari kedua dan ketiga latihan dengan memberi surat perubatan.

“Saya datang latihan pada Selasa. Dalam bilik persalinan, perut saya tiba-tiba sakit tetapi saya tetap teruskan latihan.

“Apabila pulang, saya beritahu doktor saya sakit. Perut saya memulas dan saya mengalami cirit birit.

“Doktor menyuruh saya berehat selama 48 jam di rumah. Surat sakit itu dikeluarkan oleh doktor kelab,” katanya lagi. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA