Sterling kekal jika Klopp menerajui

Sterling kekal jika Klopp menerajui

LONDON, 2 Jun (Reuters) – Akhbar Britain semalam melaporkan, Raheem Sterling sedia membatalkan hasrat untuk meninggalkan Liverpool sekiranya Jurgen Klopp dilantik sebagai pengurus baharu Reds.

Pemain antarabangsa England itu sebelum ini menolak beberapa tawaran kontrak baharu yang dikemukakan Liverpool, malah memberitahu pengurus pasukan, Brendan Rodgers bahawa dia mahu meninggalkan Anfield.

Bagaimanapun, pada ketika masa depan Rodgers kini tidak menentu dan Klopp dikhabarkan bakal mengambil alih Liverpool, Sterling memberitahu akhbar Express, dia bersedia mempertimbangkan untuk kekal bersama pasukan.

Klopp, 47, sebelum ini secara terbuka berkata, dia sanggup membatalkan rancangan untuk bercuti sekiranya mendapat tawaran daripada Liverpool kerana berminat menjadi jurulatih dalam Liga Perdana Inggeris.

Jurulatih kelahiran Jerman itu sudahpun meletak jawatan sebagai pengurus Borussia Dortmund, dan keputusan tersebut telah dibuat lebih awal sebelum spekulasi me­ngenai Rodgers tiba-tiba timbul ekoran kekalahan memalukan 6-1 yang dialami Liverpool kepada Stoke City dalam perlawanan terakhir liga, 24 Mei lalu.

Raheem Sterling masih belum membuat keputusan berkenaan masa depannya. – AFP
Raheem Sterling masih belum membuat keputusan berkenaan masa depannya. – AFP

Walaupun gagal membantu Dortmund muncul juara Piala Jerman, Sabtu lalu selepas tewas 3-1 kepada Wolfsburg, namun Klopp pernah merangkul enam kejuaraan sepanjang bersama Dortmund, selain melayakkan diri ke final Liga Juara-Juara 2013.

Sementara itu, kekecohan yang kini melanda Anfield mungkin membatalkan hasrat pemain tengah England, James Milner untuk menyertai pasukan itu musim depan dan perkembangannya kini dipantau rapat oleh Manchester United.

Pemain tengah Manchester City itu dijangka meninggalkan Etihad sebaik saja kontraknya berakhir pada hujung bulan ini dan dia bersedia untuk berpindah ke Anfield secara percuma.

Bagaimanapun, masa depan Rodgers yang tidak menentu membuatkan Milner merubah fikiran dan mungkin mengalihkan tum­puan ke Old Trafford.

ARTIKEL YANG SAMA