Sterling ‘lahir semula’ di bawah Guardiola

Sterling ‘lahir semula’ di bawah Guardiola

LONDON, 23 Ogos – Ketika Manchester City tampak tidak bermasalah untuk mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, pemain sayap Raheem Sterling juga seperti ‘dilahirkan semula’ di bawah bimbingan Pep Guardiola.

Sterling, 21 menyertai City dari Liverpool dengan yuran perpindahan lumayan, 44 juta pound tahun lalu namun bergelut dengan nilai tinggi yang diletakkan kepadanya sehingga terlepas tempat dalam kesebelasan utama.

Juga tampil beraksi di bawah prestasi sebenar ketika bersama England dalam kempen Euro 2016, begitupun ia berubah di bawah bimbingan Guardiola apabila dia mencetus inspirasi kemenangan besar 5-0 City ke atas Steaua Bucharest pada aksi pertama perlawanan play-off Liga Juara-Juara, minggu lalu.

“Jelas dia banyak dikritik sepanjang tahun lalu, namun cara dia bertindak balas adalah hebat,” kata rakan sepasukannya, Kevin De Bruyne menjelang pertembungan timbal balik menentang Steaua, awal pagi Khamis ini.

Sterling (kanan) disaingi Alin Tosca dari Steaua Bucharest ketika beraksi pada pusingan pertama play-off National Arena di Bucharest, 16 Ogos lalu. – AFP
Sterling (kanan) disaingi Alin Tosca dari Steaua Bucharest ketika beraksi pada pusingan pertama play-off National Arena di Bucharest, 16 Ogos lalu. – AFP

“Dia pemain yang hebat. Saya tidak kisah apa orang kata kepadanya selepas tahun lalu atau Euro. Perkara seperti ini berlaku. Sebagai pemain bola sepak, ada masa naik dan turut.

“Harap-harapnya dia boleh meneruskan persembahan seperti ini bersama kami, kerana dia amat berbahaya.”

Sterling menyinar pada aksi pertama di Bucharest, berjaya memenangi kedua-dua penalti namun gagal disempurnakan Sergio Aguero dan mencetus gerakan terhadap jaringan David Silva serta Aguero yang akhirnya meledak hatrik.

Dia juga menyumbangkan penalti ketika City menewaskan Sunderland 2-1 pada aksi pembukaan Liga Perdana (PL) Inggeris dan sekali lagi tampil dengan aksi baik ketika kemenangan 4-1 ke atas Stoke City apabila menjadi perancang kepada gol Nolito.

Malah kebangkitan semula Sterling turut mendapat perhatian pengurus baru England, Sam Allardyce. – AFP